Pembantu akauntan PPD Bachok dituduh buat 14 tuntutan palsu

Bernama
Julai 26, 2016 16:36 MYT
Timbalan Pendakwa Raya, Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM Kelantan Shahidah Muslimah Roslan menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin.
Seorang pembantu akauntan di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bachok dituduh di Mahkamah Sesyen Kota Baharu di sini, hari ini selepas didakwa melakukan 14 tuntutan palsu berjumlah RM12,056.10.
Tertuduh, Nur Azmawati Shamsuddin, 34, mengangguk faham selepas pertuduhan itu dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Pendidikan Bachok bermula 29 Sept 2014 hingga 2 Sept 2015 dengan membuat tuntutan palsu itu atas nama suaminya, Nor Aznizi Mohamad Noor.
Nur Azmawati dituduh di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan dan denda tidak melebihi lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau denda RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.
Timbalan Pendakwa Raya, Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM Kelantan Shahidah Muslimah Roslan menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin.
Nur Azmawati yang tidak diwakili peguam bagaimanapun meminta jaminan dikurangkan kerana menjadi penanggung utama keluarga, manakala ibunya baru selesai menjalani pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN).
Hakim Ahmad Bazli bagaimanapun menetapkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan tertuduh perlu hadir dengan seorang peguam pada sebutan semula kes pada 5 Sept depan.
#Pejabat Pendidikan Daerah #pembantu akauntan #Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
;