Pembantu akauntan didenda RM10,000 dan dipenjara buat tuntutan palsu

Bernama
Februari 14, 2017 14:11 MYT
Penjawat awam itu didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama. - Gambar hiasan
Seorang penjawat awam didenda RM10,000 dan penjara sehari selepas mengaku bersalah melakukan tuntutan palsu oleh Mahkamah Sesyen Kota Bharu di sini, hari ini.
Hakim Adli Abd Ghalib menjatuhkan hukuman itu terhadap Nur Azmawati Shamsuddin, 35, yang juga merupakan seorang pembantu akauntan selepas didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bachok pada 5 Mei 2015 dengan mengemukakan satu tuntutan palsu atas nama suaminya, Nor Aznizi Mohamad Noor berjumlah RM1,571.20.
Dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun atau lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Terdahulu, peguam tertuduh, Ahmad Nizam Mohamed memohon agar mahkamah mengenakan hukuman minimum terhadap Nur Azmawati dengan alasan tertuduh mempunyai tiga anak yang masih kecil serta perlu membayar pinjaman perumahan berjumlah RM631 sebulan dan pinjaman peribadi RM1,000.
Selain itu, Ahmad Nizam dalam hujahnya turut mengemukakan suami tertuduh yang mempunyai penyakit genetik Haemophilia B yang tidak mampu menghasilkan darah beku secara semula jadi dalam tubuh dan memerlukan rawatan secara berkala dengan kos sekitar RM400 hingga RM500 sebulan.
"Tertuduh juga dikenakan tindakan tatatertib oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan iaitu potongan gaji selama tujuh hari. Tertuduh telah insaf dan sedar dengan kesilapan yang dilakukan dan berjanji tidak akan mengulangi kesilapannya lagi," katanya.
Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya, Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM Kelantan Shahidah Muslimah Roslan berkata jenayah yang dilakukan tertuduh adalah serius kerana dia adalah seorang penjawat awam di bahagian pentadbiran kewangan.
"Duit yang diterima tertuduh merupakan dana daripada kerajaan kepada PPD Bachok yang digunakan untuk bayaran kerja lebih masa kepada kakitangan PPD Bachok.
"Pendakwaan meminta hukuman untuk pengajaran dan hukuman untuk mendidik orang awam supaya tidak melakukan perkara sedemikian," katanya.
-- BERNAMA
#hukuman penjara #kes mahkamah #Kota Bharu #penjawat awam #tuntutan palsu
;