Pembangunan vaksin COVID-19 masih di fasa pertama - Dr Awg Bulgiba

Astro Awani
April 1, 2020 10:30 MYT
DR AWG BULGIBA: Jika fasa pertama gagal (vaksin tidak selamat kepada manusia), maka fasa kedua tidak boleh dilakukan. - Gambar AP
Pembangunan vaksin COVID-19 kini di peringkat pertama daripada empat fasa ujian klinikal ke atas manusia.
Pakar Epidemiologi dan Setiausaha Agung Akademi Sains Malaysia, Datuk Profesor Dr Awg Bulgiba Awg Mahmud berkata ia sekali gus menunjukkan dunia mempunyai harapan besar untuk memiliki vaksin wabak itu.
Jelasnya, ia dapat dilihat dalam tempoh 12 hingga 18 bulan akan datang apabila pelbagai syarikat terkemuka berlumba-lumba menghasilkan vaksin berkenaan, lapor Sinar Harian.
"Fasa pertama membabitkan ujian klinikal ke atas manusia yang mengambil masa antara tiga hingga enam bulan bagi memastikan vaksin itu selamat.
"Banyak syarikat seluruh dunia sedang melakukan ujian ini dan sebagai satu pandemik, sudah pasti negara yang mempunyai kepentingan akan melabur besar dalam pembangunan vaksin COVID-19.
"Sekiranya berjaya, ia akan memberi nilai komersial kepada syarikat terbabit bagi meraih pulangan lumayan," katanya.
Pada masa ini, Amerika Syarikat (AS) sudah memulakan ujian klinikal dengan menyuntik vaksin percubaan ke atas manusia bermula April.
Sebelum ini, gergasi farmaseutikal Johnson & Johnson merancang untuk memulakan ujian klinikal vaksin COVID-19 terhadap manusia menjelang September ini dengan sasaran kumpulan pertama pesakit yang dikategorikan kes kecemasan boleh menggunakannya awal tahun depan.
Johnson & Johnson dalam satu kenyataan berkata mereka sudah berusaha membangunkan vaksin itu sejak Januari dengan usahasama Lembaga Penyelidikan dan Kemajuan Bioperubatan (BARDA) iaitu sebuah bahagian Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia.
Dalam pada itu, katanya, desakan daripada kumpulan saintis dan pakar kesihatan awam akan mendorong kerajaan di negara terbabit untuk membangunkan vaksin COVID-19 secepat mungkin.
Jelasnya, pembangunan vaksin bagi fasa dua mengambil masa tiga hingga enam bulan bagi mengenal pasti tindak balas dan ketahanan badan bagi menghasilkan antibodi melawan virus tersebut.
"Jika fasa pertama gagal (vaksin tidak selamat kepada manusia), maka fasa kedua tidak boleh dilakukan.
"Fasa ketiga pula akan melibatkan banyak ujian klinikal di pelbagai pusat setiap negara dengan mengambil kira faktor umur dan bangsa.
“Sesuatu vaksin hanya boleh memohon kelulusan pihak berkuasa yang mengawal selia ubat-ubatan setelah melepasi fasa ketiga iaitu terbukti selamat dan berkesan digunakan," katanya.
#AS #Awg Bulgiba Awg Mahmud #BARDA #COVID-19 #Johnson & Johnson #kerajaan #Lembaga Penyelidikan dan Kemajuan Bioperubatan #Pakar Kesihatan Awam #vaksin
;