Pembangunan tidak terkawal punca banjir

Haider Yutim
Disember 4, 2012 13:34 MYT
Penduduk Jalan Sepakat, Kampung Melayu Batu 16, Rawang mengadu kampung mereka sering dinaiki air kebelakangan ini berikutan sungai berhampiran yang tersekat yang didakwa berpunca dari pembangunan dua buah projek di atas bukit.
Pembinaan projek Lebuhraya Serendah-Templer dikatakan menjadi punca utama air sungai di situ tersumbat ekoran pergerakan tanah serta pasir dari tapak projek terbabit.
Menambah masalah, banjir juga dikatakan berpunca daripada tindakan sesetengah penduduk yang menggunakan paip air tidak sah.
“Paip air tidak sah yang menggunakan air sungai itu disalirkan dalam keadaan tidak teratur menyebabkan sampah sarap terperangkap dalam ‘jaringan’ paip-paip tersebut,” kata seorang penduduk kampung, Syaliza Sapian Suri, 32, ketika ditemui.
Syaliza yang halaman rumahnya dinaiki air, terkejut apabila pulang dan mendapati rumahnya dalam keadaan begitu.
“Masa tu saya tak ada di rumah... saya keluar. Bila saya balik, saya memang terkejut lihat keadaan rumah,” katanya.
Bagi Jamaliah Hj Khalid, 46, pula, beliau mengakui banjir berpunca daripada aliran sungai yang tersekat.
Beliau menggesa kerajaan negeri Selangor mengambil tindakan segera bagi memulihkan keadaan di kampung tersebut.
“Kita dah bayar cukai pintu, cukai tanah... jadi kerajaan negeri yang mengatakan Selangor negeri berkebajikan, saya nak tahu sejauh mana kebenaran negeri Selangor kebajikan pada pihak rakyat,” kata Jamaliah yang telah tinggal di situ selama 21 tahun.
“Saya harap semua yang kita minta ni membuat benda ni berkesan dengan secepat mungkin.. jangan indah khabar dari rupa,” tambah beliau.
Seorang lagi penduduk, Fauzi Abdul Rashid, 19 memberitahu perkara itu telahpun dimaklumkannya pada Oktober 16 lalu kepada ketua kampung dan orang ramai.
Namun katanya mereka hanya menganggapnya sebagai ‘perkara biasa’ sahaja.
“Bila hujan pasir habis melimpah ke bawah.. masuk rumah. Dah sebulan lebih beritahu ketua kampung dia kata tu perkara biasa saja. Saya dah beritahu semua orang diorang kata perkara biasa sahaja,” jelas Fauzi.
Sementara itu ketua kampung, Hj Jamil Mohamad Yusof ketika mengulas tentang kejadian berkata, ini merupakan kali kedua kejadian seumpama ini berlaku.
“Dalam masa dua jam tu saya tengok air dah melimpah.. bila hujan dah berhenti, saya tengok air masih melimpah... rupanya sungai dah tertutup dengan batu, pasir dan kayu-kayu dari atas disebabkan oleh projek tersebut,” kata beliau.
Jelas beliau, kerja-kerja membersih dan mendalamkan sungai juga sedang dilakukan bagi penyelesaian sementara untuk membuka semula laluan sungai.
Tambah beliau lagi, untuk penyelesaian jangka panjang beliau telah pun meminta 'u-drain' dipasangkan dan permohonan itu telah pun diluluskan oleh kerajaan negeri yang mana ia sekarang dalam proses tender.
Menurut ahli JKKK kampung, Hj Mohd Sani Yusof pula, beliau telah memaklumkan kepada ADUN Rawang , Gan Pei Nei mengenai masalah itu.
Dalam pada itu ADUN Templer Datuk Seri Subahan Kamal memaklumkanbeliau telah memohon kepada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri untuk mendapatkan peruntukan RM200 ribu bagi projek memperbesarkan longkang di situ.
“Saya dah panjangkan kepada pihak JPM. Kalau dia boleh lepaskan ini untuk projek segera, bermakna kita buat benda ni dengan segera la. Itu tindakan kita,” kata beliau.
Subahan juga memberitahu ini merupakan kali keempat laporan kepada Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah dibuat tetapi mereka masih tidak mengambil tindakan segera.
#Datuk Seri Subahan Kamal #Gan Pei Nei #Jalan Sepakat #Kampung Melayu Batu 16 #MPS #Rawang #Selayang #Templer #William Leong