Pembangunan tanah rizab Melayu di Selangor hanya libatkan infrastruktur awam - MB

Bernama
Mac 5, 2024 06:30 MYT
Amirudin berkata, kerajaan Selangor tidak membenarkan sebarang pembangunan dijalankan di tanah rizab Melayu (TRM) kecuali melibatkan pembinaan infrastruktur awam. - Foto fail/BERNAMA
SHAH ALAM: Kerajaan Selangor tidak membenarkan sebarang pembangunan dijalankan di tanah rizab Melayu (TRM) kecuali melibatkan pembinaan infrastruktur awam, kata Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.
Beliau berkata antara projek pembangunan infrastruktur awam yang dijalankan di TRM ialah pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan penggantian dibuat mengikut jenis TRM yang sama dan tidak melebihi luas tanah rizab yang dibatalkan.
Amirudin juga menzahirkan keyakinan kerajaan negeri berada di landasan yang betul dalam memastikan TRM dapat dipertahankan di negeri itu.
"Dalam hal ini, kita juga sedang memikirkan bagaimana kawasan TRM diberi nilai tambah selaras pengumuman Skim Perumahan MADANI di tanah rizab Melayu yang dibuat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB 2024) baru-baru ini," katanya menggulung Usul Menyembah Ucapan Terima Kasih Serta Menjunjung Kasih Ke Atas Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Mohd Razali Saari (PN-Sungai Panjang) berhubung Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) yang mendapati Pengurusan TRM di Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Selangor secara keseluruhannya dirumuskan adalah kurang cekap serta berkesan.
Semasa KEB2024 yang berlangsung hujung minggu lepas, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengumumkan Skim Perumahan MADANI akan diwujudkan untuk membangunkan 2,500 unit rumah mampu milik di atas TRM dalam kadar segera bagi menjamin kesejahteraan kaum itu di bandar.
Persidangan DUN Selangor bersambung hari ini.
-- BERNAMA
#Selangor #tanah rizab Melayu #infrastruktur awam #Amirudin Shari
;