Pembangunan Taman Reka Bentuk IC Selangor bantu kurangkan hijrah cendekiawan

Bernama
Julai 9, 2024 06:20 MYT
Ng Sze Han berkata kerajaan negeri menyasarkan lebih banyak rakyat tempatan yang telah berhijrah ke luar negara untuk pulang dan bersama-sama membangunkan industri semikonduktor di Selangor.
SHAH ALAM: Pembangunan Taman Reka Bentuk Litar Bersepadu (IC) Selangor dijangka membantu mengurangkan isu penghijrahan cendekiawan atau 'brain drain' dalam industri semikonduktor negara, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) diberitahu hari ini.
Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor Ng Sze Han berkata kerajaan negeri menyasarkan lebih banyak rakyat tempatan yang telah berhijrah ke luar negara untuk pulang dan bersama-sama membangunkan industri semikonduktor berikutan bidang berkenaan menawarkan pulangan gaji yang lebih tinggi.
Ng berkata Selangor turut dijangka menikmati pelbagai manfaat pulangan pelaburan (ROI) secara langsung seperti peluang pelaburan asing daripada syarikat semikonduktor bertaraf antarabangsa serta syarikat modal teroka bertaraf antarabangsa untuk mengembangkan perniagaan reka bentuk IC.
"Ini termasuk peluang untuk membuka kilang pemprosesan di Selangor," katanya ketika menjawab pertanyaan Ong Chun Wei (PH-Balakong) yang ingin tahu kesan limpahan ekonomi terhadap pembangunan Taman Reka Bentuk IC yang akan direalisasikan di Selangor.
Selain itu, Ng memaklumkan pembangunan infrastruktur itu mampu membawa pulangan pelaburan secara tidak langsung seperti penyediaan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi dan perkembangan ekonomi setempat antaranya makanan dan minuman, perumahan dan pengangkutan dengan kewujudan bakat inovasi yang tinggi.
Beliau berkata penubuhan Taman Reka Bentuk IC merupakan perkembangan penting dalam industri semikonduktor Malaysia, mencerminkan peralihan strategik daripada 'Dibuat di Malaysia' kepada 'Dibuat oleh Malaysia'.
"Peralihan ini penting kerana ia mewakili hasrat Malaysia meningkatkan rantaian nilai semikonduktor, beralih daripada proses di bahagian belakang seperti pembungkusan dan pengujian, kepada rekaan dan inovasi IC di bahagian hadapan.
"Bagi pemain semikonduktor tempatan, ini bermakna peluang yang lebih besar untuk terlibat dalam rekaan bernilai tinggi, akses kepada teknologi serta kerjasama dengan pemimpin teknologi global dan tempatan antaranya MaiStorage iaitu anak syarikat Phison di Malaysia, SkyeChip Sdn Bhd dan Persatuan Industri Semikonduktor Shenzhen," katanya.
Media sebelum ini melaporkan Taman Reka Bentuk Litar Bersepadu dan pemacu semikonduktor Malaysia: Hab Selangor yang dibangunkan di Puchong mampu menjana pulangan ekonomi sehingga RM1 bilion.
-- BERNAMA
#Selangor #Taman Reka Bentuk IC #semikonduktor #brain drain