Pembangunan Silicon Island boleh dipercepatkan - Kon Yeow
Dewi Nur Harasha Alias
Disember 10, 2023 17:36 MYT
Disember 10, 2023 17:36 MYT
GEORGE TOWN: Pembangunan Silicon Island di Pulau Pinang boleh dipercepatkan meskipun jangkaan awal ia akan siap dalam tempoh 15 tahun.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, tempoh masa asal projek di Pulau Pinang Selatan (PSI) itu boleh dipendekkan selepas melihat kemajuan projek tersebut setakat ini.
"Kawasan seluas 2.02 hektar telah berjaya ditambak sejak kerja penambakan bermula pada awal Oktober lepas dengan menggunakan dua bot yang mempunyai kapasiti mengangkut pasir sebanyak 7,000 kubik meter setiap satu.
"Pada tahun depan, kerja-kerja penambakan akan ditingkatkan dengan menambah dua lagi bot yang mempunyai kapasiti lebih besar iaitu 20,000 kubik meter setiap satu.
"Usaha ini adalah supaya proses tersebut akan mencapai kemajuan lebih cepat,
"Penumpuan utama di Silicon Island adalah pembangunan di Green Tech Park (GTP) yang dijangka akan siap pada tahun 2026," katanya.
Kon Yeow berkata walaupun penambakan Silicon Island baru bermula tiga bulan yang lalu, namun kerajaan negeri yakin pembangunan tersebut akan mengulangi kejayaan Kawasan Perindustrian Bebas (FIZ) Bayan Lepas.
Katanya, pembangunan Silicon Island dijangka akan menjana Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM1.1 trilion dan pelaburan sebanyak RM74.7 bilion serta mewujudkan 220,000 peluang pekerjaan yang akan membawa manfaat kepada rakyat Pulau Pinang dan Malaysia.
Kon Yeow berkata demikian kepada media selepas majlis Jejak Langkah Penang South Island (PSI) di Dewan Markas Polis Marin Wilayah 1 , Batu Uban, Pulau Pinang pada Ahad.
Terdahulu, Kon Yeow bersama Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak, melawat tapak penambakan Silicon Island.