Pembangunan semula sumbang kepada imej KL
Astro Awani
Mac 18, 2013 19:52 MYT
Mac 18, 2013 19:52 MYT
Pembangunan semula Pasar Raja Bot dijangka akan menyumbang kepada imej Kuala Lumpur yang lebih menarik dan berjaya.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pasar ini juga akan menjadi pemangkin kepada pembangunan persekitaran terutamanya pembangunan semula Kampung Bharu.
Jelas Muhyiddin lagi, pasar ini akan berubah kepada keadaan lebih positif yang rancak dengan aktiviti perniagaan dan sosial.
“Dengan kemudahan infrastruktur yang cekap, dan selesa serta adanya laluan dan stesen LRT dan MRT, kawasan ini akan setanding dengan kawasan segi tiga emas yang berada di sebelah kita. Nilai hartanah akan turut meningkat sejajar dengan kemajuan pembangunan di sini yang tentunya memberi manfaat kepada penduduk di sini.” jelas Muhyiddin.
Tambahnya lagi, projek ini juga susulan daripada lawatan beliau pada tahun 2011 dan ini jelas membuktikan janji kerajaan kepada peniaga untuk membangunkan pasar tersebut ditepati.
Bagi projek ini kerajaan memperuntukkan perbelanjaan sebanyak RM200 juta. Prasarana yang dijangka siap pada tahun 2017 ini akan dapat menempatkan semula 1,527 orang penjaja sedia ada dan penjaja baru.