Pembangunan semula Pasar Dato Keramat bermula 2024, secara berfasa
Bernama
Mac 29, 2022 10:30 MYT
Mac 29, 2022 10:30 MYT
KUALA LUMPUR: Pembangunan semula Pasar Dato Keramat di sini dijangka bermula seawal 2024 secara berfasa selepas perancangan pembinaannya tertangguh lebih lima tahun.
Pengarah projek Sinotech Properties Development Sdn Bhd yang juga pemaju, Mohd Zaili Mohd Zainordin berkata pihaknya telah menyerahkan permohonan kebenaran merancang kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan kini dalam proses pindaan yang akan dimuktamadkan pada bulan depan.
Beliau berkata mengikut perancangan, tapak Perumahan Awam (PA) Perlis Satu yang bersebelahan dengan Pasar Dato Keramat lama akan dibangunkan dengan Pasar Dato Keramat yang moden dan dilengkapi kemudahan parkir bertingkat selain ruang untuk pasar basah, kering yang boleh menempatkan seramai 333 peniaga.
"Pembangunan Pasar Dato Keramat adalah berfasa, pada peringkat awal kami akan siapkan 108 rumah gantian untuk kediaman PA Perlis Satu di Gurney Heights yang dijangka dimulakan pembinaannya pada September ini.
"Selepas rumah gantian itu siap dalam tempoh dua tahun, penduduk PA Perlis Satu akan dipindahkan dan apabila ia telah dikosongkan, barulah kediaman itu dirobohkan untuk pembinaan Pasar Dato Keramat yang baharu," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Mohd Zaili berkata tapak asal Pasar Dato Keramat pula akan dimajukan dengan pangsapuri servis yang mempunyai 1,200 unit kediaman dan keseluruhan projek berkenaan akan mengambil masa lima hingga tujuh tahun.
"Pembinaan perlu dilakukan secara berfasa dan berhati-hati kerana kita tidak mahu mengganggu operasi harian Pasar Dato Keramat sedia ada," katanya.
Sementara itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mahadi Che Ngah ketika dihubungi berkata projek berkenaan telah pun mendapat kelulusan pelan pembangunan dan pembinaan semula Pasar Dato Keramat penting untuk pembangunan yang mampan.
"Bangunan asal Pasar Dato Keramat sudah berusia hampir 40 tahun, infrastruktur yang sedia ada seperti sistem pendawaian elektrik, sistem saliran telah memberikan masalah untuk diselenggara selain parkir yang tidak mencukupi.
"Pembangunan semula di kawasan yang menampung ekonomi warga kota juga perlu dinaik taraf untuk keselesaan, keselamatan peniaga dan pengunjung pada masa akan datang selain lokasinya yang strategik berdekatan dengan stesen LRT Dato Keramat dan Damai," katanya.
Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan Cawangan Dato Keramat Mohamed Tarmizi Mohamed Akil pula berharap cadangan pembangunan Pasar Dato Keramat baharu akan memberikan situasi menang-menang kepada peniaga yang sudah lama mencari rezeki di pasar itu.
Mohamed Tarmizi juga berharap pihaknya dipanggil untuk terlibat dalam libat urus mengenai pembangunan semula pasar itu agar maklumat yang terkini dapat diperoleh dan pihaknya juga dapat mengemukakan sebarang cadangan.
"Kami (peniaga) sudah lama bertapak di sini, kami tidak mahu apabila berlaku pemindahan ke pasar baharu yang sepatutnya prestasi perniagaan semakin maju, sebaliknya semakin mundur.
"Memang cerita (pembangunan) ini bagus, tapi kami tidak mahu terhimpit dengan masalah itu di kemudian hari, sebagai peniaga kami mahu jaminan yang kami akan dapat manfaat daripadanya," katanya.
-- BERNAMA