Pembangunan semula KL Sentral masih dalam rundingan, dijangka dilaksana awal tahun depan

Firdaus Azil
Oktober 24, 2024 13:20 MYT
Loke (tengah) pada sesi Taklimat Operasi RapidKL pasca-Belanjawan 2025 di stesen LRT Pasar Seni, hari ini. -Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Projek pembangunan hab pengangkutan KL Sentral masih dalam peringkat perbincangan di antara Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), Jabatan Perdana Menteri, dan pihak pemaju iaitu Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB).

Ringkasan AI
  • Projek pembangunan semula KL Sentral sedang dalam peringkat perbincangan antara UKAS dan MRCB, dengan harapan dapat dimuktamadkan tahun ini.
  • Projek ini telah mendapat kelulusan Kabinet dan bernilai RM1 bilion, yang akan ditanggung sepenuhnya oleh MRCB.
  • memberi jaminan bahawa pembangunan semula ini tidak akan memberi impak kepada perkhidmatan pengangkutan awam sedia ada seperti LRT, KTM, dan ETS.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata, projek tersebut merupakan Perkongsian Awam Swasta (PPP), dan pihaknya berharap agar perbincangan itu dapat dimuktamadkan tahun ini.
“Ketika ini, (pembangunan semula KL Sentral) sedang dalam proses rundingan oleh UKAS dan pihak pemaju.
"Pembangunan ini adalah berdasarkan PPP, dan harus melalui UKAS. MOT berharap rundingan ini dapat diselesaikan dalam tahun ini juga, agar projek itu dapat dilaksanakan awal tahun hadapan,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri sesi Taklimat Operasi RapidKL pasca-Belanjawan 2025 di stesen LRT Pasar Seni, di sini, pada Khamis.
Pada Mei lalu, Loke berkata, pembangunan semula KL Sentral telah mendapat kelulusan Kabinet, selepas Kerajaan mendapati hab tersebut menyaksikan pertumbuhan yang amat pesat dalam tempoh 20 tahun lepas, dan menjadikan kawasan sekelilingnya sesak.
MOT, katanya lagi, telah mengemukakan pelan pembangunan bernilai RM1 bilion yang bukan sahaja menjadikan rekaan dan pembangunan KL Sentral menjadikan ia lebih sofistikated, tetapi juga dengan objektif mengurangkan kesesakan pengangkutan awam dan peribadi di kawasan tersebut.
Katanya lagi, kos tersebut akan ditanggung sepenuhnya oleh pihak MRCB.
Bagaimanapun, kata Loke lagi, Kementerian memberi jaminan bahawa projek pembangunan semula hab tersebut tidak akan memberi impak kepada perkhidmatan pengangkutan awam sedia ada, seperti LRT, KTM dan ETS.
#Anthony Loke #Projek pembangunan semula KL Sentral #UKAS dan MRCB #Perkongsian Awam Swasta
;