Pembangunan perumahan mesti penuhi aspek manusiawi - PM Anwar
Bernama
Disember 10, 2024 16:20 MYT
Disember 10, 2024 16:20 MYT
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu projek perumahan khususnya rumah mampu milik, mesti memenuhi aspek manusia dan keperluan asas rakyat.
Beliau berkata, dalam mencapai kemajuan pembangunan, adalah penting untuk memastikan tidak berlaku kesenjangan dalam memenuhi keperluan asas perumahan untuk masyarakat secara keseluruhan.
Anwar berkata pembangunan perumahan mampu milik bukan hanya bertujuan menyediakan kemudahan yang memberi keselesaan kepada rakyat, tetapi ia juga perlu berkualiti tinggi.
"Ingin saya singgung…kita semua mahu menyediakan pertumbuhan pencapaian ekonomi, tetapi kita harus ingat bahawa pembangunan mesti berteraskan kemanusiaan.
"Kalau (perumahan) orang kaya ada kolam yang agak bermutu tinggi, sekurang-kurangnya untuk rakyat (di rumah mampu milik) ada kolam yang boleh dimanfaatkan. Sekurang-kurangnya kalau (perumahan) orang kaya ada padang golf, rakyat ada padang permainan.
"Kita beri ruang (kemudahan perumahan) yang kita mampu, supaya mereka rasa sebahagian daripada masyarakat dan negara mengiktiraf peranan mereka," kata beliau ketika berucap pada Majlis Menandatangani Perjanjian Pembangunan Bersama Rumah Mampu Milik Bakat Baru MADANI antara Penang Development Corporation (PDC) dan PDC Properties (PDCP) dan SkyWorld di ibu negara hari ini.
-- BERNAMA