Pembangunan perlu patuhi SOP, amal konsep tender terbuka

Luqman Hariz
Januari 7, 2016 20:39 MYT
Semua badan dan agensi berwajib perlu terlibat dalam proses perancangan sesebuah projek pembangunan pada masa hadapan bagi memastikan ianya berjalan lancar dan mengambil kira kepentingan semua pihak. - Foto Bernama
Pematuhan standard prosedur operasi (SOP) dan keterbukaan penawaran tender adalah penting bagi memastikan tidak wujud ketirisan dalam sesebuah projek pembangunan.
Demikian ujar Presiden Transparency International, Datuk Akhbar Satar yang mengulas isu perlombongan bauksit di Kuantan yang kini menimbulkan pelbagai masalah dan cabaran buat penduduk setempat.
Selasa lalu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata ia menemui unsur rasuah dalam aktiviti perlombongan berkenaan.
“Setiap tender patut diberi secara terbuka dan hendaklah dilakukan secara telus, dan berikan kepada mereka yang betul-betul mahu buat kerja dan layak melakukan perlombongan,” katanya.
Akbar turut mempersoalkan sama ada terdapat penguatkuasaan secukupnya dijalankan oleh jabatan atau agensi yang berkaitan isu ini.
Beliau menambah semua badan dan agensi berwajib perlu terlibat dalam proses perancangan sesebuah projek pembangunan pada masa hadapan bagi memastikan ianya berjalan lancar dan mengambil kira kepentingan semua pihak.
Malangnya di Malaysia ini setiap kali kita ada isu macam ini, barulah kita bising.
“Malangnya di Malaysia ini setiap kali kita ada isu macam ini, barulah kita bising, sedangkan sepatutnya kita perlu ada perancangan apabila membangunkan sesebuah bandar atau negeri.
Perancangan hendaklah disediakan meliputi bukan saja satu jabatan, bahkan berbagai jabatan untuk melihat terutama sekali dari kesan bauksit ini yang tidak baik dan juga boleh dikatakan, memalukan negara,” tegas beliau.
Rabu lalu Kabinet mengeluarkan arahan supaya aktiviti perlombongan bauksit di Kuantan dihentikan selama tiga bulan bermula 15 januari ini.
Sektor perlombongan bauksit Malaysia
Menurut data dikumpul oleh Wall Street Journal, Malaysia mengeksport kira-kira 20 juta tan metrik bauksit ke China sepanjang Januari hingga November 2015, mewakili hampir separuh import bauksit China bagi tahun 2015.
Ini merupakan peningkatan mendadak dari angka 3.25 juta tan metrik pengimportan bauksit China dari Malaysia pada tahun sebelumnya.
Pakar industri berpendapat kemasukan Malaysia ke dalam industri perlombongan bauksit mengubah landskap industri tersebut; menyediakan satu sumber baru mineral mesra alam itu bagi memenuhi permintaan penghasilan aluminium yang digunakan dalam pembuatan objek harian dari tin minuman sehingga rangka kenderaan.
Saksikan berikut temu bual Presiden Transparency International, Datuk Akhbar Satar dalam Buletin AWANI jam 12 tengah hari.
#bauksit #Datuk Akhbar Satar #ketelusan #Rasuah #SOP #tender #Transparency International
;