Pembangunan Pahang dijangka berkembang pesat dalam tempoh lima tahun - MB
Bernama
Julai 4, 2023 19:37 MYT
Julai 4, 2023 19:37 MYT
KUANTAN: Pembangunan di Pahang khususnya di kawasan Pahang Barat di bawah Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dijangka berkembang pesat dalam tempoh lima tahun akan datang.
Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata ECERDC merupakan platform yang mampu mempercepatkan pembangunan, berdasarkan kajian dan perancangan yang teratur selain kerjasama erat bersama kerajaan negeri.
"Hubungan dan kerjasama yang telah lama wujud dapat memastikan kelancaran pelaksanaan projek strategik, menarik masuk pelaburan swasta dan program-program pembangunan modal insan di Pahang.
"Selain itu, kerajaan negeri menyokong usaha ECERDC menjadikan Pahang sebagai destinasi pelaburan pilihan, antaranya dengan memudah cara kemasukan pelaburan dan penyediaan infrastruktur," katanya.
Wan Rosdy berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-15 ECERDC dan pelancaran Invest@ECER 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sultan Ahmad Shah (SASICC) di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC Datuk Baidzawi Che Mat dan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Datuk Zulkifli Yaacob.
Wan Rosdy berkata pembangunan ekonomi di Pahang Barat antara tumpuan kerajaan negeri dan projek yang sedang dilaksanakan di kawasan tersebut ialah dalam bidang penternakan dan pembuatan termasuk kilang peluru di Lipis.
Menurutnya, kerjasama kerajaan negeri dan ECERDC juga membuahkan hasil apabila pelaburan komited berjumlah RM93 bilion telah berjaya dibawa masuk ke Pahang.
"Selain itu, Jabatan Perangkaan Malaysia pada laporan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi tahun 2022 meletakkan Pahang di kedudukan ketiga terbaik pertumbuhan ekonomi nasional dengan 10.8 peratus, mengatasi kadar pertumbuhan KDNK nasional pada 8.7 peratus.
"Justeru, saya menyeru ECERDC meneruskan usaha untuk membawa masuk pelaburan berkualiti tinggi, membangunkan usahawan tempatan dan melatih tenaga kerja mahir bagi memenuhi permintaan pelabur serta berharap kolaborasi yang ada diteruskan untuk manfaat rakyat Pahang," katanya.
Dalam pada itu, Wan Rosdy turut berharap penyertaan rakyat Pahang dalam program pembangunan modal insan ECERDC seperti program latihan bimbingan akademik dan keusahawanan kepada golongan B40 dan masyarakat Orang Asli dapat dipertingkatkan.
Setakat ini, lebih 57,000 daripada 120,000 orang peserta di seluruh program adalah rakyat Pahang, ia mewakili kira-kira 47.5 peratus daripada jumlah keseluruhan.
-- BERNAMA