Pembangunan negeri Kedah perlu jadi fokus Belanjawan 2020 - Muhkriz

Abdul Hadi Che Awang
September 21, 2019 12:09 MYT
Negeri Kedah menjadi satu-satunya negeri dibawah pentadbiran Pakatan Harapan, selepas Perlis (Barisan Nasional) dan Kelantan (Pas) dikategorikan sebagai negeri miskin yang perlu diberikan lebih tumpuan oleh kerajaan. - Gambar fail/Facebook @ItsAseanS
Selepas Kelantan, Kerajaan Negeri Kedah mengakui negeri terbabit agak ketinggalan terutama dari sudut pembangunan jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia.
Justeru Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berharap agar Belanjawan 2020 yang akan dibentangkan Oktober depan dapat memberi lebih pengkhususan terhadap aspek pembangunan di negeri itu.
Tambah beliau, hasil yang setimpal juga harus diperoleh negeri terbabit setelah banyak berkorban untuk mempertahan kemakmuran dan meningkatkan ekonomi negara termasuk menjadi penyumbang tenaga solar terbesar di Malaysia.
"Ada negeri tertentu yang agak ketinggalan, dari segi pembangunan dan Kedah salah satu darinya. Jadi apabila disebut begitu, saya harapkan dalam bajet 2020 dan sebaiknya juga dalam RMK-12 dan RMK-13.
"Mungkin sebab YB Azmin (Menteri Hal Ehwal Ekonomi,) menyatakan wawasan ini akan berjalan selama 2020, maksudnya dua Rancangan Malaysia, jadi tumpuan akan diberikan kepada negeri miskin, jadi ini sangat dialukan kerana bagi kita Kedah banyak berkorban untuk negara," katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Pelepasan Walk For Peace di Taman Jubli Emas, Suka Menanti, di sini pada Sabtu.
Negeri Kedah menjadi satu-satunya negeri dibawah pentadbiran Pakatan Harapan, selepas Perlis (Barisan Nasional) dan Kelantan (Pas) dikategorikan sebagai negeri miskin yang perlu diberikan lebih tumpuan oleh kerajaan.
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 14 September lalu menegaskan Kerajaan Pusat menerusi Wawasan Kemakmuran Bersama 2021-2030 akan berusaha untuk merapatkan jurang ekonomi antara negeri-negeri di Malaysia.
#Azmin Ali #Bajet 2020 #Bajet2020 #Belanjawan 2020 #Belanjawan2020 #Kedah #Mahathir Mohamad #Malaysia #Menteri Besar #Mukhriz Mahathir #Pakatan Harapan #PAS #Perdana Menteri #Perlis
;