Pembangunan MVV 2.0 disasar sumbang 15 peratus kepada KDNK negara - Aminuddin

Bernama
Ogos 31, 2023 03:10 MYT
AMINUDDIN: Pembangunan MVV membuka lebih banyak peluang pembangunan ekonomi dengan peningkatan nilai pelaburan ke Negeri Sembilan melebihi RM32 bilion dari tahun 2018 hingga 2022. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Pembangunan Projek Katalis Lembah Wawasan Malaysia (MVV) 2.0 dijangka memberi impak yang besar kepada ekonomi negara dan disasar menyumbang kira-kira 15 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia.
Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pembangunan MVV 2.0 itu yang akan diterajui oleh agensi berkaitan pelaburan kerajaan negeri, Perbadanan NS, bakal memberi impak ekonomi ketara kepada negara menerusi pelaburan yang dibawa masuk dari dalam dan luar negara yang seterusnya mewujudkan peluang pekerjaan serta perniagaan.
MVV 2.0 merupakan perancangan komprehensif jangka masa panjang sehingga tahun 2045 bagi daerah Seremban dan Port Dickson dengan memanfaatkan kedudukan strategiknya bersebelahan dengan pintu masuk antarabangsa negara iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan berdekatan Pelabuhan Klang.
"Pembangunan MVV membuka lebih banyak peluang pembangunan ekonomi dengan peningkatan nilai pelaburan ke Negeri Sembilan melebihi RM32 bilion dari tahun 2018 hingga 2022," katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Aminuddin berkata kejayaan Negeri Sembilan menarik pelaburan berjumlah RM8.9 bilion pada 2022, iaitu pencapaian tertinggi dalam sejarah, merupakan hasil manifestasi tadbir urus yang cekap dan sikap keterbukaan yang diamalkan kerajaan negeri.
Menurutnya, kerajaan negeri sentiasa mengamalkan dasar terbuka dalam mengalu-alukan kemasukan pelabur terutamanya pemain industri berteknologi tinggi selain giat mengadakan sesi dialog bersama pelabur sedia ada serta yang berpotensi bagi mengembangkan operasi di Negeri Sembilan.
"Dasar ini menjadi kekuatan kerajaan negeri menarik lebih ramai pelabur dari dalam dan luar negara untuk melabur di kawasan MVV 2.0 memandangkan pembukaan kawasan perindustrian baharu dalam projek ini penting bagi memenuhi permintaan serta keperluan industri selain merancakkan ekonomi," katanya.
Beliau berkata, konsep pembangunan yang dirangka kini sedang dalam fasa pelaksanaan selaras dengan rancangan bagi pembangunan fasa pertama projek katalis pembangunan iaitu projek 'heartbeat' yang akan memberi tumpuan kepada pembangunan taman industri teknologi tinggi.
"Perancangan pembangunan MVV yang dahulu menyasarkan aktiviti ekonomi seperti perindustrian teknologi tinggi, pelancongan kesejahteraan, pendidikan dan penyelidikan berasaskan kemahiran perkhidmatan," katanya.
Kini, ia diperincikan dengan perancangan khusus bagi setiap parcel pembangunan yang ditumpukan seperti Parcel A: Tech Park di Nilai, Parcel B: Smart County di Labu, Parcel C, NS Aerospace Valley di Tanah Merah dan Bukit Pelanduk di Port Dickson, Parcel D: Integrated Maritime Hub dan Waterfront Corridor di Port Dickson, Parcel E: NS Unmanned Vehicle Valley di Rantau, serta Parcel F: Semiconductor Valley di Senawang.
"Projek pertama akan dibangunkan di Parcel A, Nilai, dalam kawasan Ladang Hamilton dengan kerja-kerja membangunkan kawasan perindustrian telah dilancarkan dan kerja-kerja tanah sedang giat dijalankan," katanya.
Manakala, Parcel B pula dirancang dalam kawasan seluas 8,796 ekar (3,518 hektar) untuk pembangunan Wilayah Pintar atau Smart County yang merangkumi kawasan perumahan dan komersial, industri ringan dan sederhana yang memfokuskan pengeluaran halal terutamanya dalam segmen makanan dan minuman, farmaseutikal dan industri kosmetik, hub perubatan serta hub pendidikan.
Menurutnya, Perbadanan NS juga telah memeterai perjanjian pembelian tanah Parcel B seluas 3,723 ekar (1,489 hektar) daripada Sime Darby Berhad bagi tujuan pembangunan di kawasan tersebut manakala pembangunan fasiliti pemasangan helikopter Turkish Aerospace Industries yang pada awalnya ditetapkan di Parcel C kini juga ditempatkan di Parcel B.
Aminuddin berkata, kerajaan negeri juga berhasrat untuk membangunkan sebuah hab industri aeroangkasa yang dikenali sebagai NS Aerospace Valley di Parcel C manakala perancangan pembangunan Parcel D adalah untuk meningkatkan potensi industri perkapalan, pelabuhan dan logistik di Port Dickson.
"Parcel E dilihat berpotensi dibangunkan bagi 'unmanned aerial vehicle' mengambil kira ia tidak berada dalam laluan penerbangan," katanya.
Sementara itu, Parcel F yang dikenali sebagai NS Semiconductor Valley terletak berhampiran Taman Perindustrian Tuanku Jaafar juga kini dalam fasa perancangan yang akan dibangunkan sebagai pusat perindustrian bagi industri semikonduktor.
"Pada masa ini, syarikat SDI Energy Malaysia Sdn Bhd (SDIEM) yang telah membawa masuk pelaburan berjumlah RM6 bilion sedang membina sebuah kilang sel bateri kenderaan elektrik (EV) Fasa ke-2 di Parcel F," katanya.
Aminuddin berkata, MVV 2.0 juga menerima pelaburan daripada Dutch Lady Milk Industries (DLMI) Berhad bernilai RM450 juta di kawasan seluas lebih 13 hektar di Bandar Baru Enstek dengan kerja pembinaan kilang telahpun dimulakan.
Menurutnya, Dutch Lady akan memindahkan sepenuhnya operasi mereka dari Petaling Jaya ke Bandar Enstek pada suku ketiga tahun ini yang bakal mewujudkan 400 peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.
"Kesemua usaha pembangunan diharap akan dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat, yang mana akan dapat meningkatkan taraf ekonomi rakyat dan memberi impak limpahan positif kepada penduduk setempat," katanya.
--BERNAMA
#Aminuddin Harun #Projek Katalis Lembah Wawasan Malaysia #MVV 2 #Perbadanan NS