Pembangunan Miri terus melonjak dipacu industri minyak dan gas - Abang Jo

Nuzuluddin Abdul Razak
Oktober 8, 2022 12:34 MYT
Pengoperasian telaga minyak pertama di Miri sejak Disember 1910 juga telah berjaya mengubah landskap sosio-ekonomi lebih 300,000 penduduk di bahagian itu.
MIRI: Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg yakin pembangunan bahagian Miri akan terus melonjak dengan peningkatan aktiviti industri minyak dan gas.
Menurutnya, pengoperasian telaga minyak pertama di Miri sejak Disember 1910 juga telah berjaya mengubah landskap sosio-ekonomi lebih 300,000 penduduk di bahagian itu.
“Rizab minyak di daratan (onshore) masih terdapat di sekitar Bahagian Miri, terutamanya di Selatan Marudi yang akan diusahakan oleh Sarawak sendiri berdasarkan kuasa negeri ini di bawah Ordinan Perlombongan Minyak (OMO) 1958.
“Shell yang sudah lama meninggalkan Miri kini kembali ke Miri dan pasti akan merancakkan lagi aktiviti ekonomi di bandar ini,” katanya semasa berucap pada Majlis Sambutan Perayaan Hari Jadi ke-86 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud di Stadium Miri di sini pada Sabtu.
Terdahulu, syarikat multinasional Shell Malaysia telah memindahkan pusat operasi serantaunya di Kuala Lumpur dan Kota Kinabalu ke Miri yang dijangka memulakan operasi di ibu pejabat Shell Malaysia Huluan di Marina Times Square menjelang tahun 2023.
Tambah Abang Johari kawasan Ulu Baram yang kaya dengan flora dan fauna serta tanah tinggi turut berpotensi untuk diusahakan sebagai kawasan pertanian tanaman iklim sejuk yang akan menyumbang kepada peningkatan ekonomi di Miri.
Justeru, infrastruktur jalan raya khasnya Jambatan Marudi yang sedang dibangunkan jelasnya adalah penting untuk disiapkan segera bagi menghubung dan mengembangkan ekonomi Miri dengan bahagian yang lain.
“Baru-baru ini saya telah berada di Marudi untuk melihat perkembangan projek-projek pembangunan di sana termasuk pembinaan Jambatan Marudi. Kontraktor penyelamat telah memulakan kerja-kerja untuk menyiapkan jambatan ini yang akan menjadi penghubung penting bagi pembangunan laluan darat ke kawasan Ulu Baram, Mulu dan Limbang,” ujarnya.
September lalu, projek pembinaan Jambatan Marudi merentangi Sungai Baram sepanjang 650 meter diteruskan dengan pelantikan kontraktor baharu selepas kontraktor sebelum ini telah diberhentikan susulan projek tidak berjalan mengikut perancangan.
Dengan pelantikan kontraktor baharu, projek pembinaan Jambatan Marudi akan dibina dalam tempoh 24 bulan dan dijangka siap penghujung tahun 2024.
#industri minyak dan gas #Pembangunan Miri #Ekonomi Sarawak #luar bandar
;