Pembangunan masyarakat Orang Asli, usaha warta tanah rizab akan diteruskan - Saarani

Bernama
November 13, 2022 14:41 MYT
Saarani (tiga,kanan) ketika hadir pada majlis perasmian jambatan konkrit sepanjang sembilan meter yang menghubungkan Kampung Orang Asli Sungai Lah, Chenderiang hari ini. - Bernama
TAPAH: Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata pembangunan masyarakat Orang Asli di negeri itu termasuk usaha mewartakan tanah rizab bagi komuniti tersebut akan diteruskan sekiranya Barisan Nasional (BN) diberi mandat mentadbir kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Beliau berkata kerajaan negeri ketika pentadbiran bekas Menteri Besar Tan Sri Mohd Tajol Rosli Ghazali telah meluluskan hampir 19,000 hektar bagi diwartakan termasuk projek Tanam Semula Komersial (TSK) Orang Asli dan Tanam Semula Berkelompok (TSB).
Katanya, daripada jumlah itu, 13,500 hektar telah diwartakan manakala baki kira-kira 5,400 hektar masih dalam proses untuk diukur halus Jabatan Ukur dan Pemetaan sebelum diwarta.
"Tujuan kita beri ini sebab kita ingin memastikan masyarakat Orang Asli ini (mendapat) haknya dan boleh bercucuk tanam bagi tujuan menyara hidup mereka. Kita akan meneruskan kerja baik ini kerana masyarakat Orang Asli adalah sebahagian daripada rakyat Malaysia.
"Selama ini kita tahu mereka adalah fixed deposit (simpanan tetap) bagi BN maka BN akan terus berbuat kebajikan kepada masyarakat Orang Asli termasuk dalam bidang pendidikan dan kesihatan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Jambatan Baharu Kampung Orang Asli Sungai Lah di Chenderiang di sini hari ini yang turut dihadiri penyandang kerusi Parlimen Tapah Datuk Seri M. Saravanan dan calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chenderiang Choong Shin Heng.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai jaminan kerajaan negeri untuk meneruskan usaha menjaga kebajikan dan pembangunan masyarakat Orang Asli sekiranya BN masih diberi mandat.
Ditanya mengenai isu bekalan air bersih di Kampung Chang Lama, Sungai Gepai, Saarani berkata kerajaan negeri telah mendapatkan peruntukan sebanyak RM400,000 daripada kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) untuk pembinaan loji rawatan air di kawasan itu, yang dijangka siap pada tahun ini.
Terdahulu, beliau merasmikan jambatan konkrit sepanjang sembilan meter yang menghubungkan Kampung Orang Asli Sungai Lah, Chenderiang bagi memudahkan penduduk setempat menyeberangi Sungai Lah menggunakan kenderaan.
-- BERNAMA
#PRU15 #Saarani Mohamad #Orang Asli #tanah rizab
;