Pembangunan Kg Sungai Baru: Pejuang mahu SPRM siasat dana RM42 juta pemaju

Firdaus Azil
Jun 16, 2022 20:32 MYT
Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, perbelanjaan dana tersebut disebut secara lisan oleh wakil pemaju kepada penduduk kawasan berkenaan. - Foto Sinar Harian
PUTRAJAYA: Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) hari ini mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat mengenai dana RM42 juta, yang didakwa telah dibelanjakan pihak pemaju untuk projek pembangunan Kampung Sungai Baru.
Mewakili Presiden Pejuang Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Ketua Pejuang Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, perbelanjaan dana tersebut disebut secara lisan oleh wakil pemaju kepada penduduk kawasan berkenaan.
Khairuddin berkata, Pejuang telah membuat laporan kepada SPRM, bagi membolehkan siasatan dilakukan sekiranya dana tersebut digunakan untuk menyogok pihak tertentu bagi tujuan projek berkenaan.
"Pejuang menuntut satu kertas siasatan dibuka oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk menyiasat aliran penggunaan dana tersebut dan sama ada wujud sebarang sogokan, salah guna kuasa dan sebagainya yang membabitkan pegawai di Kementerian Wilayah Persekutuan, Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu, dan pegawai Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Wilayah yang terlibat dalam isu pengambilan tanah ini,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di hadapan Ibu Pejabat SPRM, di Putrajaya petang Khamis.
Pada 29 Mei lepas, Mukhriz melalui sidang media mendakwa terdapat unsur-unsur penyalahgunaan kuasa terhadap isu pengambilan tanah di kawasan Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur.
Media melaporkan penduduk Kampung Sungai Baru melakukan bantahan selepas mereka menerima notis mengosongkan rumah, beberapa hari sebelum bulan Ramadan.
Majoriti penduduk berkenaan dilaporkan enggan berpindah kerana mendakwa pampasan diberikan pemaju tidak setimpal dan tiada rundingan secara menyeluruh.
Mengulas lanjut, Khairuddin berkata, siasatan SPRM itu adalah perlu memandangkan Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki sendiri sebelum ini menyatakan kes rasuah berskala besar mula meningkat akibat kesan kegawatan ekonomi, susulan pandemik COVID-19.
"Berpaksikan konsep kedaulatan undang-undang atau rule of law, Pejuang menyeru supaya kontroversi pengambilan tanah dan pembangunan semula Kampung Sungai Baru ditangani segera oleh kerajaan dengan berhemah tanpa unsur paksaan, atau salah guna kuasa demi kebajikan dan kesejahteraan penduduk Kampung Sungai Baru, khususnya dan masyarakat Melayu amnya,” katanya lagi.
#Parti Pejuang Tanah Air #Pejuang #pembangunan Kampung Sungai Baru #SPRM #salah guna kuasa #Rasuah #Khairuddin Abu Hassan
;