Pembangunan Kampong Bharu: Utamakan kepentingan anak jati - Adib

Astro Awani
November 17, 2020 10:00 MYT
Ad Adib berkata, jika Kampong Bharu dibangunkan sebagai satu perkampungan kemasyarakatan Islam dalam kota metropolitan, ia akan merupakan satu perkembangan sihat. - Foto Facebook
KUALA LUMPUR: Semua pihak perlu memberi keutamaan kepada anak jati Kampong Bharu dalam menentukan hala tuju dan apa jua keputusan berkaitan pembangunan kawasan itu pada masa akan datang.
Ketua Armada Titiwangsa Ad Adib Shaharuddin menegaskan, ia sekali gus kewajipan kepada semua pihak bahawa apa pun hala tujunya, ia mesti demi kesejahteraan umat Islam di Kampong Bharu.
"Kita menegaskan bahawa setiap pihak harus menolak sebarang sistem yang boleh dianggap sebagai menindas tuan tanah dan pewaris tanah tersebut.
"Sebagai contoh, jika tanah itu dimiliki oleh sekumpulan manusia maka kita akan lihat sekumpulan manusia ini akan menentang sekeras-kerasnya sebarang bentuk penindasan, apatah lagi sekiranya terdapat langkah-langkah bagi meragut hak mereka selaku empunya tanah tersebut.
"Perkara ini dapat diperlihatkan dengan jelas baik di London, Paris, New York dan lain lain negara di persada dunia," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Sebelum ini, Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa menegaskan, kerajaan komited meneruskan agenda memaju dan membangunkan Kampong Bharu.
Jelas beliau, kerajaan dalam perancangan untuk memodenkan kawasan tersebut menerusi beberapa kaedah yang diperbaharui.
Dalam pada itu, kata Ad Adib, semua pihak berwajib sepatutnya mencari kaedah yang terbaik dalam memastikan tanah yang telah dipusakakan kepada anak cucu daripada zaman ke zaman seperti wakaf keluarga dikekalkan.
Katanya lagi, seandainya Kampong Bharu dibangunkan sebagai satu perkampungan kemasyarakatan Islam dalam kota metropolitan, ia akan menjadi satu perkara yang sangat sihat khususnya kepada umat Islam yang berada di Kampong Bharu dan negara ini.
"Besar harapan saya agar kita dapat memastikan bahawa nasib Kampong Bharu tidak akan sama seperti apa yang terjadi kepada perkampungan melayu di Bukit Bintang.
"Satu perkampungan yang indah satu ketika dahulu akan tetapi lihat apa sudah jadi kepada Bukit Bintang?
"Bukit Bintang sekarang telah pun menjadi satu tempat yang dilabelkan sebagai satu tempat yang mengundang kepada berlaku pelbagai bentuk maksiat," ujarnya.
Annuar sebelum ini juga menambah, pembangunan di Kampong Bharu akan diselaraskan dengan Pelan Induk Struktur Kuala Lumpur 2020/2040, di mana ia dijangka diwartakan pada awal tahun depan.
BACA: Kerajaan komited bangunkan Kampong Bharu - Annuar Musa
BACA: Selesaikan isu pemilikan sebelum cerita pembangunan Kampong Bharu - MAS
#Annuar Musa #Kampong Bharu #kerajaan #pembangunan #kemasyarakatan #Bukit Bintang #Kuala Lumpur #Ad Adib Shaharuddin #Islam #Melayu
;