Pembangunan Kampong Baru: Keputusan pada Jun - Khalid
Harits Asyraf Hasnan
Januari 12, 2020 12:49 MYT
Januari 12, 2020 12:49 MYT
Keputusan berhubung pembelian tanah bagi pembangunan semula Kampong Baru di ibu negara akan diumumkan pada Jun akan datang.
Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata ketika ini Perbadanan Pembangunan Kampung Baru masih mempergiat usaha memberi penerangan kepada pemilik tanah berhubung skim pilihan tawaran.
"(Isu) Kampong Baru lama lagi (prosesnya), cerita belum habis lagi. Bulan Jun ini barulah kita akan muktamadkan sepenuhnya kerana Perbadanan Pembangunan Kampung Baru masih berjumpa penduduk dalam kumpulan kecil untuk jelaskan kerana banyak sangat maklumat yang tidak begitu tepat dalam sosial media.
"Bulan enam ini akan kita selesaikan. Kalau (ada masalah seperti) tidak cukup korum, bagaimana kita nak buat. Kalau tidak cecah 100 peratus, bagaimana nak kita lakukan.
"Kalau dapat 100 peratus jelas, banyak pilihan yang kita boleh fikirkan supaya yang mana setuju tu kita terus dapat lakukannya," katanya kepada media selepas menyempurnakan Pertandingan Bola Sepak Perpaduan Piala Khalid Samad di sini pada Ahad.
Tambah Khalid, pihaknya sedaya upaya untuk tidak melaksanakan proses pengambil alihan oleh kerajaan, sebaliknya menggunakan pendekatan rundingan dan persetujuan bersama.
"Sebenarnya dalam isu Kampong Baru, ini adalah yang terbaik yang pernah tercapai. Sebelum ini belum pernah ada sampai 50 peratus (persetujuan).
"Kiranya ini tawaran yang baik dan pendekatan kita baik, cuba pujuk dan berikan penjelasan, tidak ada paksaan.
"Kita telah janjikan kita tidak akan guna pengambilan oleh Kerajaan. Kita cuba bincang bersama dan kita dapatkan mereka bersama kita untuk bangunkan mereka," katanya.
Pada penghujung Oktober tahun lalu, Kerajaan menawarkan nilai RM1,000 satu kaki persegi bagi keseluruhan 825 lot tanah di Kampong Baru.
Bagaimanapun, daripada jumlah itu, RM150 adalah pulangan dalam bentuk pegangan saham dalam Syarikat Tujuan Khas (PSV) yang akan ditubuhkan kelak.
Selain itu, potongan harga sejumlah 15 peratus akan diberikan kepada pemilik tanah yang memilih untuk membeli harta tanah dalam pembangunan yang akan dilaksanakan kelak.
#Kampong Baru
#Kampung Baru
#Khalid Samad
#pembangunan semula Kampong Baru
#skim tawaran Kampong Baru