Pembangunan ekonomi mestilah selari dengan prinsip lestari
Bernama
Julai 1, 2018 06:35 MYT
Julai 1, 2018 06:35 MYT
Kerajaan negeri telah menggubal pelbagai dasar dan undang-undang untuk mengurus dan memulihara hutan dan hidupan liar secara mampan bagi memastikan perkembangan ekonomi selaras dengan prinsip lestari global, kata Ketua Menteri Datuk Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata pembangunan lestari adalah keseimbangan antara keperluan pertumbuhan ekonomi, kemajuan sosial, kestabilan politik dan pemuliharaan alam sekitar.
"Bagi tujuan ini, kerajaan Sarawak telah menggubal Dasar Penggunaan Tanah untuk menguruskan tanah bagi mencapai pembangunan mampan," katanya pada majlis pembukaan Perhimpunan Tahunan Ke-55 Persatuan Biologi Tropika dan Pemuliharaan (ATBC 2018) di sini pada Ahad.
Turut hadir Pengarah Eksekutif ATBC Prof Robin Chazlon dan Pengerusi ATBC Dr Ahimsa Campos-Arceiz.
Abang Johari berkata Sarawak sentiasa mengalu-alukan kerjasama antarabangsa untuk menjalankan penyelidikan dan kerja-kerja pemuliharaan hutan.
"Saya mengambil peluang ini untuk menggalakkan para pegawai, penyelidik dan pelajar tempatan untuk membuat yang terbaik daripada peluang hebat ini untuk belajar daripada pakar tempatan dan antarabangsa bagi membangunkan kerjasama jangka panjang.
"Saya berharap delegasi luar negara juga dapat memperoleh manfaat daripada perwakilan Malaysia terutamanya mengenai hutan, biodiversiti, program pemuliharaan dan isu-isu lain yang berkaitan," katanya.
Lebih 900 ahli persatuan itu dari 67 negara menghadiri persidangan ATBC 2018 yang bermula semalam hingga 5 Julai.
Persidangan itu membabitkan lebih 550 perbincangan lisan dan panel mengenai isu semasa tempatan, serantau dan global.
ATBC adalah persidangan terbesar ahli biologi tropika dan pemuliharaan dengan buat julung kalinya persidangan global itu diadakan di Malaysia dan tahun depan ia akan berlangsung di Madagascar.
-- BERNAMA