Pembangunan digital di Sarawak akan terus dipertingkat - Najib

Harits Asyraf Hasnan, Noraida Abdul Kassim
Mac 12, 2016 12:25 MYT
Najib (dua dari kanan) ketika hadir pada majlis pelancaran MINDA di Tebingan Kuching hari ini. -Foto Bernama
Kerajaan Persekutuan akan meneruskan projek pembangunan digital, komunikasi dan jalur lebar di Sarawak bagi memastikan rakyat di negeri itu tidak ketinggalan dalam arus pembangunan teknologi.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pembangunan digital bakal membawa kemajuan kepada rakyat di negara ini terutama dalam meningkatkan taraf hidup dan pendapatan keluarga.
"Kita akan pastikan di setiap sudut, pelusuk dan seluruh kawasan di Sarawak ini akan mempunyai akses komunikasi dan digital yang baik.
"Bayangkan kalau ada jaringan internet jalur lebar, suri rumah boleh duduk di rumah meluangkan masa lebih kurang dua ke tiga jam sehari, dengan pendapat RM200 ke RM300 sebulan.
"Itu dapat membantu tingkatkan pendapatan keluarga," katanya pada Majlis Pelancaran Malaysia Eksklusif Negara Digital (MINDA) di Tebingan Kuching, hari ini.
Kata Najib lagi, projek pembangunan digital yang sedang dan bakal dilaksanakan itu akan merapatkan jurang terutama di antara kawasan bandar dan luar bandar.
Hadir sama pada majlis tersebut adalah Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak, Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Dr Alfred Jabu Anak Numpang dan Menteri Kerja Raya yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya Datuk Seri Fadillah Yusof.
MINDA ialah sebuah program bermatlamat menghubungkan rakyat, membina masyarakat bermaklumat dan merangsang ekonomi digital.
Ia juga dilihat sebagai satu platform terbaik bagi Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) serta agensi-agensi kerajaan membantu rakyat mendepani pelbagai cabaran era digital yang semakin berkembang di negara ini.
#akses komunikasi dan digital #era dgital #komunikasi dan jalur lebar #najib #projek pembangunan digital #Sarawak
;