Pembangunan desa ambil kira empat elemen utama - Ahmad Zahid

Bernama
Januari 10, 2023 08:10 MYT
Ahmad Zahid berkata pembangunan di kawasan desa juga perlu selari dengan soal sahsiah dan sosial bagi mencorak keperibadian rakyat majmuk di kawasan berkenaan selain elemen penjagaan alam sekitar. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Pembangunan kawasan desa perlu mengambil kira empat elemen utama iaitu digital, ekonomi, sahsiah dan alam sekitar, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, berkata internet berkelajuan tinggi harus dibawa ke kawasan desa sebagai kemudahan kepada rakyat untuk mendapatkan akses kepada maklumat pelbagai bidang termasuk pendidikan.
"Dalam soal ekonomi pula, adakah hanya adil atau saksama untuk dibuat di kawasan pinggir bandar atau bandar sahaja? Maka ia (ekonomi) harus disuntik di kawasan desa juga," katanya pada program Naratif Khas Bersama Timbalan Perdana Menteri terbitan RTM, malam tadi.
Menurutnya, pembangunan di kawasan desa juga perlu selari dengan soal sahsiah dan sosial bagi mencorak keperibadian rakyat majmuk di kawasan berkenaan selain elemen penjagaan alam sekitar.
Katanya, pada masa ini berlaku ketidakseimbangan dari segi pembangunan di kawasan desa yang merangkumi kira-kira 30 peratus daripada penduduk Malaysia.
Menurutnya, 70 peratus rakyat pula berada di kawasan separa bandar dan bandar.
Beliau berkata meskipun pelbagai rancangan telah dibuat dengan peruntukan yang besar sebelum ini, tetapi masalah kemiskinan masih membelenggu penduduk desa.
Justeru, katanya, peruntukan bagi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah akan digunakan secara efektif supaya impaknya akan turut dirasai rakyat di desa.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata proses urbaninasi haruslah diseimbangkan antara proses pembangunan secara fizikal dan spiritual.
"Harus ada perimbangan antara pembangunan fizikal dengan pembangunan spiritual...kita berikan kebahagiaan fizikal tetapi kita jarang lihat dari segi kebahagiaan spiritual," katanya.
-- BERNAMA
#Zahid Hamidi #pembangunan #desa #alam sekitar
;