Pembangunan BKIP 3 kejayaan besar Pulau Pinang dalam sektor industri - PM Anwar
Bernama
Februari 16, 2024 21:11 MYT
Februari 16, 2024 21:11 MYT
BATU KAWAN: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pembangunan Taman Perindustrian Batu Kawan 3 (BKIP 3) di sini, sebagai paparan kejayaan besar Pulau Pinang dalam sektor perindustrian.
Taman perindustrian ke-10 yang dimajukan oleh Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), merupakan kesinambungan kepada Taman Perindustrian Batu Kawan atau Batu Kawan Industrial Park.
"Sejarah Pulau Pinang memang istimewa, melalui PDC yang telah meneroka industri agak awal dan melakar perubahan struktur pertumbuhan ekonomi negara
"(Pada masa sama) kita juga akui lonjakan program industri dan kemajuan di Pulau Pinang telah memberi tekanan kepada infrastruktur di negeri itu dari segi jalan raya, pelabuhan dan lapangan terbang," kata beliau ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah BKIP 3, hari ini.
Menyedari kepentingan itu, Perdana Menteri berkata Kerajaan Persekutuan mahu menyegerakan pelaksanaan Transit Aliran Ringan (LRT) dan pembesaran Lapangan Antarabangsa Pulau Pinang.
Anwar turut mengambil maklum mengenai masalah air di Pulau Pinang, terutama di kawasan perindustrian seperti BKIP.
"Berita baiknya adalah usaha membangunkan Kerian Hi-Tech yang baharu (dan) akan membawa limpahan (pelaburan dan pembangunan ekonomi) ke Seberang Perai Selatan (SPS) termasuk Sungai Acheh.
"Bekalan air dan tenaga yang mana ditumpukan dari Sungai Perak dan kawasan Kerian, akan dilakukan oleh Kerajaan Persekutuan..bekalan air yang banyak dari Kerian akan mengalir turun ke Seberang Perai.
"Oleh itu, kita (Kerajaan Persekutuan) akan segerakan projek Air Perak Pulau Pinang," katanya.
Sementara itu, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow yang turut hadir pada majlis itu menyifatkan BKIP3 yang melibatkan kos bernilai RM2.2 bilion sebagai bukti komitmen Kerajaan Negeri menerusi PDC untuk menyediakan lebih banyak taman industri bagi menampung permintaan pelabur luar dan dalam negara.
"BKIP 3 berkeluasan bersih 407 ekar akan dibangunkan dalam empat fasa, termasuk fasa pertama seluas 60 ekar dijangka siap pada tahun 2025," katanya.
Chow juga menjangkakan pembangunan BKIP 3 membawa limpahan ekonomi yang positif, bukan sahaja ke seluruh negeri Pulau Pinang bahkan merangkumi wilayah utara Semenanjung Malaysia.
Beliau berkata ini berikutan kesalinghubungan infrastruktur berkualiti seperti Lebuhraya Utara Selatan, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Jambatan Pulau Pinang, Pelabuhan Pulau Pinang serta Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah.
-- BERNAMA