Pembangunan baharu di Kuala Lumpur tertakluk kepada TIA - Ramkarpal

Bernama
November 15, 2023 13:24 MYT
Ramkarpal menjawab Pertanyaan-pertanyaan bagi Jawab Lisan pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Setiap pembangunan baharu yang dicadangkan di Kuala Lumpur adalah tertakluk kepada hasil kajian impak trafik (TIA) dalam usaha menangani kesesakan trafik akibat pertumbuhan penduduk.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Ramkarpal Singh berkata kajian tersebut merangkumi pelbagai aspek antaranya dapatan tahap perkhidmatan jalan (LOS) masa kini dan unjuran trafik masa hadapan.
"Hasil daripada unjuran trafik masa hadapan, penambahbaikan infrastruktur akan disyorkan. Selain itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengadakan perancangan lalu lintas yang lebih menyeluruh dan bersepadu sebagai inisiatif penyelesaian jangka panjang bagi menangani masalah kesesakan.
"DBKL juga memberi tumpuan kepada pembangunan pengangkutan awam yang mesra pengguna, efisien dan mudah akses bagi mencapai sasaran 70 peratus penggunaan pengangkutan awam menjelang 2040," katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik (PH-Balik Pulau) mengenai usaha-usaha kementerian bagi menghadapi cabaran pembangunan berterusan di Kuala Lumpur memandangkan kadar pertumbuhan penduduk semakin meningkat.
Menurutnya, antara usaha lain yang telah dilaksanakan adalah seperti perkhidmatan bas GOKL, laluan khas bas, laluan basikal, laluan pejalan kaki dan akses maklumat laluan serta perkhidmatan bas semasa melalui aplikasi digital.
Menjawab soalan tambahan Zakri Hassan (PN-Kangar) mengenai apakah tindakan kerajaan bagi mengatasi masalah banjir kilat di Kuala Lumpur, Ramkarpal berkata Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL2040) yang diluncurkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini telah mengambil kira aspek itu secara komprehensif.
"PSKL2040 ini mengambil kira perubahan semasa dan masa hadapan seperti perubahan iklim, ekonomi, demografi, gaya hidup dan infrastruktur Kuala Lumpur mendepani persaingan antarabangsa pada abad ke-21. Jadi isu banjir juga sudah diambil kira di bawah PSKL2040 ini," katanya.
-- BERNAMA
#pembangunan baharu #Kuala Lumpur #kajian impak trafik #Ramkarpal Singh #Dewan Rakyat
;