Pembangunan AHTV di Tanjung Malim tingkat nilai pelaburan hingga RM40 bilion - MB

Bernama
September 17, 2023 22:02 MYT
Saarani berkata, faktor utama peningkatan nilai pelaburan AHTV itu dipengaruhi oleh pemindahan operasi Proton dari Shah Alam ke Tanjung Malim. - Bernama
IPOH: Kerajaan negeri berjaya meningkatkan nilai pelaburan kepada RM40 bilion berbanding RM32 bilion sebelum ini melalui pembangunan dan pengkomersilan Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) di Tanjung Malim.
Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata faktor utama peningkatan nilai pelaburan AHTV itu dipengaruhi oleh pemindahan operasi Proton dari Shah Alam ke Tanjung Malim.
Pemindahan tersebut katanya turut membawa bersama vendor-vendor Proton sedia ada dan yang baharu ke AHTV.
"Sebagai contoh, apabila Proton dan Geely mengatakan mereka akan mengeluarkan EV (kenderaan elektrik), jadi vendor EV secara tidak langsung akan bertambah sebab ini merupakan teknologi baharu," katanya pada sidang media selepas merasmikan Karnival Mesra Anak Muda (KAMU) 2023 di Stadium Indera Mulia di sini hari ini.
Beliau berkata jumlah pelaburan itu juga dijangka menyediakan lebih 160,000 peluang pekerjaan dalam tempoh 10 tahun, sekali gus membolehkan lebih ramai tenaga mahir dalam kalangan rakyat tempatan memperoleh pekerjaan.
Saarani berkata selain AHTV, kerajaan negeri juga sedang giat meneroka peluang-peluang baharu dalam sektor perindudtrian khususnya di Bagan Serai dan Parit Buntar.
Mengulas mengenai KAMU, kerajaan negeri menyasarkan nilai jualan sebanyak RM3.2 juta melibatkan sektor hartanah, makanan dan lain-lain sepanjang tiga hari penganjurannya bermula semalam hingga esok.
Katanya, seramai 300,000 pengunjung dijangka memeriahkan karnival tersebut yang menampilkan pelbagai aktiviti seperti pertandingan sukan elektronik (e-sukan), konsert, pameran, peluang kerjaya dan sebagainya.
"Penganjuran karnival ini lebih meriah berbanding tahun lalu melalui pelbagai aktiviti yang dijalankan. Saya percaya dengan penganjuran KAMU ini ia memberi limpahan manfaat dan kebaikan kepada orang ramai khususnya golongan belia," katanya.
-- BERNAMA
#AHTV #Tanjung Malim #automotif #Saarani Mohamad
;