Pembangkang tubuh jawatankuasa portfolio, semak imbang peranan Exco Selangor

Bernama
September 19, 2023 15:45 MYT
Mohamed Azmin (depan, tengah) mengadakan sidang akhbar pada Mesyuarat Pertama (Angkat Sumpah) Persidangan Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Ke-15 di Dewan Negeri Selangor, Bangunan SUK pada Isnin. -Gambar fail/Bernama
SHAH ALAM: Sepuluh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada kalangan barisan pembangkang Selangor dipilih bagi menganggotai Jawatankuasa Portfolio 2023 yang ditubuhkan Perikatan Nasional (PN) bagi mewujudkan semak imbang yang lebih berkesan dengan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).
Ketua Pembangkang yang baharu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata peranan 10 ADUN PN dalam portfolio itu bertujuan memastikan perbincangan dan perbahasan semasa sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor lebih berfokus kepada isu-isu yang dapat membantu rakyat.
"Kewujudan 10 portfolio ini akan dibantu oleh tiga ahli jawatankuasa lain yang akan dianggotai oleh ADUN PN lain berdasarkan pengalaman dan latar belakang masing-masing," kata Mohamed Azmin yang juga ADUN Hulu Kelang pada sidang media selepas mesyuarat pertama penggal pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 di Dewan Negeri Selangor, hari ini.
Sepuluh portfolio berkenaan ialah Kewangan, Ekonomi, Tanah dan Sumber Alam (Mohamed Azmin); Pendidikan dan Sumber Manusia (ADUN Paya Jaras Datuk Dr Halim Tamuri); Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Infrastruktur (ADUN Dengkil Datuk Seri Jamil Salleh); Kesihatan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (ADUN Taman Medan Dr Afif Bahardin) serta Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Industri Digital (ADUN Batang Kali Muhammad Muhaimin Harith Abdullah Sani).
Bagi portfolio Generasi Muda dan Sukan pula diketuai oleh ADUN Gombak Setia Muhammad Hilman Idham; Agama Islam dan Pembangunan Desa (ADUN Semenyih Nushi Mahfodz); Wanita, Keluarga, Kebajikan dan Perpaduan (ADUN Permatang Nurul Syazwani Noh), Pertanian dan Industri Agromakanan (ADUN Sabak Sallehen Mukhyi) dan Pelancongan dan Kebudayaan Warisan Melayu (ADUN Bukit Melawati Datuk Noorazley Yahya).
Mohamed Azmin berkata barisan ADUN pembangkang akan dibantu oleh satu sekretariat khas yang ditubuhkan untuk membantu mereka mendapatkan bahan rujukan daripada beberapa sumber bagi melancarkan proses perbahasan pada sidang DUN nanti.
Pilihan Raya Negeri Selangor pada 12 Ogos lepas menyaksikan gabungan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) memenangi 34 kerusi manakala PN memperoleh 22 kerusi.
-- BERNAMA
#barisan pembangkang Selangor #Jawatankuasa Portfolio 2023 #Semak Imbang #Azmin Ali
;