Pembangkang tidak faham CGT - Ahmad Maslan

Wan Syamsul Amly
Oktober 13, 2014 19:44 MYT
AHMAD MASLAN: CGT bakal mewujudkan rantaian ekonomi yang negatif sekali gus meleburkan hasrat pelabur untuk melabur di pasaran tempatan.
Pembangkang disifatkan tidak faham konsep dan tidak pernah memikirkan risiko Cukai Keuntungan Modal (CGT) yang dicadang mereka dalam tempoh jangka pendek dan panjang kepada rakyat.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan berkata, CGT bakal mewujudkan rantaian ekonomi yang negatif sekali gus meleburkan hasrat pelabur untuk melabur di pasaran tempatan.‎
‎ "Lebih teruk apabila pembangkang mahu melaksanakan CGT bersama cukai jualan dan ‎perkhidmatan (SST). Sudahlah SST membebankan rakyat, mereka mahu tambah lagi dengan CGT.
"Pembangkang tidak memahami GST dan SST. Kerajaan tahu apa yang dilakukan, pembangkang akan menyusahkan rakyat nanti," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen di sini hari ini.
Ahmad mengulas perbahasan Bajet 2015 yang diberi Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mempertahankan CGT berbanding GST dengan alasan memberi lebih 'perlindungan' kepada golongan miskin dan sederhana dari aspek pencukaian.
‎Sebelum ini, Ahmad memberitahu, sebahagian besar rakyat sudah boleh menerima dan memahami usaha kerajaan berhubung pelaksanaan GST.
Ujarnya, majoriti rakyat sedar GST perlu bagi mengukuhkan ekonomi dan pembangunan negara.
Sehingga Selasa lepas, 76,315 syarikat perniagaan telah mendaftar untuk pelaksanaan GST.
Mulai 1 April depan, GST akan menggantikan cukai perkhidmatan sekarang dengan kadar enam peratus berbanding 16 peratus sekarang.
#Ahmad Maslan #Bajet 2015 #Belanjawan #CGT #cukai #GST #Najib Razak #pengguna
;