Pembangkang sokong, beri ruang Tun Mahathir laksana dasar negara - Annuar Musa
Diyana Ibrahim
Oktober 29, 2018 14:51 MYT
Oktober 29, 2018 14:51 MYT
Pembangkang sekarang tidak akan menjadi seperti pembangkang dulu yang hanya menghentam kerajaan kata Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Annuar Musa.
Beliau berkata pembangkang kini memberi ruang kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad melaksanakan dasar negara tanpa adanya gangguan politik yang tidak sihat.
“Kalau sekiranya negara tidak dapat menyelesaikan masalah bukan pembangkang atau rakyat tapi semua akan rugi.
“Dalam keadaan hari ini kita harus melihat supaya kepimpinan Perdana Menteri tidak ada ketidaktentuan, mendapat keyakinan daripada dalam dan luar negara, boleh melaksanakan dasar-dasar yang mana mandat telah diberi kepada mereka,” katanya kepada media di Lobi Parlimen hari ini.
Katanya yang penting pembangkang untuk melihat kerajaan dapat menepati janji kepada rakyat kerana kegagalan berbuat demikian akan merugikan semua termasuk pembangkang.
“Kita mahu memiliki kerajaan yang kukuh, pada akhirnya kerajaan mesti bertanggungjawab
“Sekarang ini kita ada banyak masalah, masalah harga komoditi yang terlalu rendah, tekanan harga barang yang tidak ada penyelesaian dan polemik politik berbagai-bagai sampai kita tukar kerajaan dan sebagainya.”
Sebelum ini Annuar ada membuat kenyataan menawarkan Dr Mahathir untuk menyertai kembali UMNO.
Tawarannya itu dibuat susulan pelawaan Dr Mahathir untuk ahli UMNO lompat parti.
#Annuar Musa
#kerajaan
#Mahathir Mohamad
#Parlimen
#pembangkang
#politik
#rakyat
#Tun Dr Mahathir Mohamad
#UMNO