Pembangkang Selangor pertikai kertas putih talam
Bernama
November 24, 2012 11:00 MYT
November 24, 2012 11:00 MYT
Beberapa anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dari Barisan Nasional semalam mempertikaikan kaedah penilaian tanah yang digunakan oleh kerajaan negeri dalam mengambil alih hutang Talam yang bernilai RM392 juta.
Wong Koon Mun (BN-Kuala Kubu Baru) berkata antara lain Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) tidak digunakan di dalam menilai aset Talam sebaliknya kerajaan negeri menggunakan khidmat jurunilai swasta.
"Dalam proses mengambil alih tanah Talam, peranan besar JPPH adalah bagi menentukan nilai premium," katanya pada sidang media selepas Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menggulung perbahasan Belanjawan 2013 pada persidangan DUN semalam.
Beliau juga mempersoalkan penilaian aset Talam di Bukit Beruntung dan Ulu Yam yang didakwanya dilakukan oleh penilai swasta dan bukannya JPPH.
Wong juga mendakwa kebanyakan tanah Talam di Ulu Yam seluas 160 ha mempunyai cerun tahap 3 dan 4 dan tidak sesuai dibangunkan.
Sulaiman Razak (BN-Permatang) pula mempersoal kenapa tanah Talam di Bukit Beruntung seluas 539.2 ha bernilai RM262 juta diambil alih oleh kerajaan negeri sedangkan tanah itu hanya bernilai RM113 juta mengikut taksiran JPPH.
Semasa penggulungan, Abdul Khalid berkata penilaian tanah Talam dibuat berdasarkan nilai komersial bagi mempercepatkan proses pengambilan hutang berikutan keadaan kewangan Talam yang meruncing di mana ia dikategorikan sebagai syarikat PN17 di Bursa Malaysia.
"Kita kena cepat lakukan supaya ia (aset) tidak hilang," katanya.
Beliau juga berkata dalam kes itu, kerajaan negeri Selangor membuat keputusan berdasarkan aspek komersil bukannya berasaskan pentadbiran.
Dewan meluluskan belanjawan yang dibentangkan Isnin lepas.
#Barisan Nasional
#BN
#Dewan Undangan Negeri
#DUN
#Menteri Besar
#Selangor
#Talam
#Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim