Pembangkang perlu rasional andai tewas PRU13
Astro Awani
Februari 12, 2013 21:36 MYT
Februari 12, 2013 21:36 MYT
Pakatan pembangkang perlu bersikap rasional dan tidak emosional sekiranya tewas pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata mereka perlu menerima hakikat dan menghormati keputusan yang dibuat rakyat.
Ahmad Zahid menegaskan jika ditakdirkan Barisan Nasional, (BN) menang pada PRU-13 pembangkang perlu menyokong keputusan berkenaan.
Begitu juga sebaliknya, jika pakatan pembangkang yang menang pula.
Ahmad Zahid berkata, walau apa pun keputusan pilihan raya nanti semua pihak perlu mengutamakan keamanan negara dan tidak mencetuskan huru hara.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan sesetengah pihak tentang kemungkinan pembangkang akan menimbulkan huru hara jika kalah dalam PRU-13.
Menyentuh mengenai "Arab Spring", istilah digunakan bagi kebangkitan rakyat di negara Timur Tengah, Ahmad Zahid berkata beliau tidak fikir pembangkang sanggup melakukan hal sedemikian.
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam blognya sebelum ini menyebut kemungkinan berlaku "Arab Spring" di Malaysia sebagaimana amaran ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.