Pembangkang perlu positif keputusan kekal Akta Hasutan - Sohaimi

Bernama
Disember 3, 2014 07:29 MYT
SOHAIMI: Pembangkang perlu positif keputusan kekal Akta Hasutan. -Gambar fail
Langkah kerajaan untuk mengekalkan Akta Hasutan 1948 dan penambahbaikannya perlu dilihat secara positif sebagai usaha untuk menjaga keharmonian dalam negara, kata Anggota Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Sohaimi Shahadan.
Beliau berkata pembangkang, yang mempersoalkan kewajaran keputusan kerajaan itu, seharusnya melihat penambahbaikan akta itu bertujuan melindungi sensitiviti semua rakyat Malaysia dan kontrak sosial, serta mengawasi kegiatan atau kenyataan berbaur hasutan yang boleh mendatangkan kemarahan dan ketegangan kaum.
"Adalah lebih baik mereka mengadakan sesi perbincangan mengenai akta ini serta kemukakan cadangan dan maklum balas. Bukan dengan membuat kenyataan dengan melulu... mereka (Dewan Pemuda PAS) perlu faham bukan semua perkara yang dilakukan Barisan Nasional (BN) harus dibangkang," katanya kepada Bernama.
Sohaimi mengulas dakwaan Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Kuala Terengganu Wan Mohd Faizul Wan Abas yang terkilan dengan keputusan kerajaan mengekalkan Akta Hasutan 1948, yang disifatkan sudah lapuk.
Wan Mohd Faizul turut dipetik sebagai berkata kerajaan tidak mengotakan janji untuk memansuhkan Akta Hasutan seperti yang diumumkan pada Julai 2012.
Pada Khamis lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan Akta Hasutan 1948 dikekalkan dengan cadangan pindaan untuk memasukkan dua peruntukan khas bagi melindungi kesucian agama Islam dan agama lain serta mendakwa mereka yang menghasut agar Sabah dan Sarawak keluar dari Malaysia.
Sohaimi berkata penambahbaikan akta itu bertujuan memperkukuhkannya agar terus relevan dan mantap untuk menghadapi cabaran semasa khususnya dalam era media sosial.
"Tidak semua benda yang lama, lapuk. Sama seperti akta ini, kalau mereka (pembangkang) faham, mereka akan menyokong langkah kerajaan ini demi kesejahteraan rakyat Malaysia," katanya.
#akta #BN #hasutan #najib #pembangkang #sohaimi #UMNO
;