'Pembangkang mesti bentang dasar alternatif jika tidak setuju dengan kerajaan'
Irfan Faruqi
Mac 10, 2023 11:00 MYT
Mac 10, 2023 11:00 MYT
KUALA LUMPUR: Pembangkang bertanggungjawab menawarkan dasar alternatif, untuk menjana persaingan idea yang matang dan mantap.
Kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan Malaysia akan terus rugi jika pembangkang hanya mengecam dasar yang diusahakan oleh kerajaan.
Timbalan Ketua (Strategi), Ibu Pejabat Asia, UN SDSN, Universiti Sunway, Profesor Wong Chin Huat berkata, pembangkang tidak boleh dilepaskan daripada tanggungjawab tersebut setiap kali tidak bersetuju dengan kerajaan.
Manfaatnya, rakyat akan dapat menilai pilihan yang lebih pelbagai.
"Apa yang saya rasa penting ialah kita mahu pembangkang kemukakan dasar alternatif kalau mereka tidak setuju dengan kerajaan. Logiknya mudah sahaja, sebarang dasar pasti ada kelemahan dan kos, dan pasti boleh jadi tidak popular.
"Tetapi kalau kita boleh Pilihan A dan B, kita akan ada lebih banyak pilihan dan boleh buat pilihan yang lebih jelas. Alternatif pembangkang itu juga ada kelemahan dan had. Kita perlukan perasaingan parti yang lebih matang dan mantap," katanya semasa ditemu bual dalam program Dialog Tiga Penjuru terbitan Astro AWANI.
Selain itu, rakyat juga perlu terlibat secara aktif dalam memilih dasar terbaik untuk negara.
Chin Huat berpandangan meskipun tanggungjawab mengundi dalam pilihan raya sudah selesai, namun dalam konteks pasca pilihan raya, rakyat masih perlu memberi perhatian kepadan tindak-tanduk Kerajaan dan pembangkang.
"Kini pasca pilihan raya kita perlu untuk berfikir secara adil, objektif dan saintifik dalam menilai tindakan.
"Kalau tidak kerajaan tidak akan dapat laksanakan perkara yang bagus kerana selalu dikecam," jelasnya lagi.
Oleh yang demikian, Chin Huat menekanan kepentingan aspek pendidikan demokrasi dan penyampaian maklumat yang berkesan kepada masyarakat dari pelbagai latar belakang.