Pembangkang mahu bentang usul batalkan Statut Rom
Firdaus Azil
Mac 26, 2019 16:43 MYT
Mac 26, 2019 16:43 MYT
Pembangkang akan membentangkan usul tergempar agar Statut Rom ditarik balik, sekiranya proses menandatangani instrumen bagi menerima perjanjian itu tidak dirundingkan atau mendapat perkenan sepatutnya dari Yang di-Pertuan Agong atau Majlis Raja-Raja.
Ketua Pembangkang Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob berkata pihaknya akan meneliti jawapan yang diberikan Menteri Luar Negeri Datuk Saifuddin Abdullah sewaktu menggulung Perbahasan Titah Diraja hari ini, sama ada ia menjawab persoalan itu atau tidak.
“Kita akan tengok hansard pagi esok, dan kalau tiada jawapan tepat daripada menteri tentang adakah Majlis Raja-Raja dimaklumkan dahulu.
"Kalau tidak, kita akan buat usul supaya kerajaan menarik balik Statut Rom yang telah ditandatangani,” katanya kepada pemberita di Lobi Dewan Rakyat hari ini," kata Ismail Sabri.
Terdahulu, sewaktu menjawab pencelahan oleh Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (BN-Kepala Batas) yang ingin mengetahui sama ada proses ratifikasi Statut Rom mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong, Saifuddin berkata ia tidak termasuk dalam kesemua sembilan perkara yang memerlukan perkenan Majlis Raja-Raja di bawah Artikel 159(5) Perlembaan Persekutuan.
Artikel itu menyebut sesuatu undang-undang yang membuat sesuatu pindaan kepada Fasal (4) Perkara 10, apa-apa undang-undang yang diluluskan di bawahnya, peruntukan Bahagian III, Perkara 38, 63(4), 70, 71(1), 72(4), 152, atau 153 atau kepada Fasal ini tidaklah boleh diluluskan tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja.
Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar berkata perkara itu sepatutnya dirujuk kepada Majlis Raja-Raja dahulu sebelum ditandatangani.
“Sebab itu saya bangun bawah Peraturan Mesyuarat 36(12), iaitu sama ada perkara itu benar-benar mendapat consent atau perkenan diperoleh atau tidak, supaya Menteri jangan mengelirukan dewan.
“Berdasarkan jawapan tadi, saya boleh beranggapan Rome Statute ini ditandatangani tanpa mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong,” katanya lagi.
#Ismail Sabri Yaacob
#Majlis Raja-Raja
#Noh Omar
#Reezal Merican
#Rome Statute
#Saifuddin Abdullah
#Statut Rom
#usul tergempar
#Yang di-Pertuan Agong