Pembangkang jangan 'gebang' mahu ambil alih kerajaan - PM Anwar

Hasimi Muhamad
Julai 29, 2023 00:18 MYT
Anwar berkata sudah mencabar PN berbuat demikian sebelum ini, dan tidak akan sesekali bersikap seperti Muhyiddin yang didakwa bertindak 'menggantung' Parlimen. - Gambar fail/Bernama
SUBANG: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tidak akan sesekali menyekat pembangkang untuk mengemukakan usul tidak percaya terhadapnya di Parlimen, sekiranya Perikatan Nasional (PN) mahu berbuat demkian.
Perdana Menteri berkata, beliau sudah mencabar PN berbuat demikian sebelum ini, dan tidak akan sesekali bersikap seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin yang didakwa bertindak 'menggantung' Parlimen.
Dalam masa sama, Anwar menasihati pembangkang jangan 'gebang' untuk mengambil alih Kerajaan Pusat, kerana Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinannya ketika ini mempunyai sokongan yang kukuh.
"Kita (sokongan) solid saudara.. tak usah 'gebang' (sembang) nak harap ambil alih, susah harapan kamu kerana kita kuat dalam kerajaan sekarang. Janganlah dengar dia.
"Saya ambil alih bulan November. Ketua Pas (Tan Sri Abdul Hadi Awang) dakwa tiga bulan sahaja. Saya kata dia dapat model mana ni? Walaupun kita yakin, mana tahu (betul dakwaan Pas). (Selepas itu kerajaan jatuh) bulan Mei, sebelum puasa... tapi tak jadi juga. Lepas raya, tak jadi juga.
"Sidang Parlimen akan datang saya beritahu bawa usul, kalau ada usul Pas dan Bersatu ada undi, bawa usul saya tidak akan sekat. Saya bukan Tan Sri Muhyiddin. Kalau kita nak buat usul, dia umum darurat (dan) Parlimen tak bersidang," katanya semasa program Ceramah Arus Merah Kuning di Subang Bestari pada Sabtu malam.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, sikap yang ditunjukkan pembangkang tidak melambangkan pejuang-pejuang Melayu sebenar.
"Pejuang ini cari macam kita. Lawan, lawan depan. Kamu nak cabar? Silakan. Saya beritahu Speaker (Dewan Rakyat) kalau pun tak cukup dua minggu (notis) tiga hari pun (benarkan). Sila bawa (tetapi) tak bawa sampai ke sudah... Kemudian sekarang, tunggu Ogos," jelasnya.
#Dewan Rakyat #Kerajaan Perpaduan #pembangkang #Usul tidak percaya
;