Pembangkang ‘bisu’ mengenai siasatan golongan 'maha kaya' - Anwar
Hasimi Muhamad
Februari 29, 2024 13:08 MYT
Februari 29, 2024 13:08 MYT
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa pembangkang setakat ini masih membisu, dan tidak menyatakan sokongan terhadap usaha Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat golongan ‘maha kaya’ yang dikaitkan dengan isu rasuah.
Perdana Menteri berkata, malah ada kalangan mereka yang didakwa membela tokoh besar terbabit, yang berdepan siasatan oleh agensi rasuah berkenaan.
Ujar Anwar lagi, pihak berkenaan hanya menuduh siasatan terhadap ‘maha kaya’ dibuat kerana ‘dendam kesumat’.
“Saya lihat di Parlimen, pembangkang menggelupur seolah-olah marah, benci dan tak ada suara pembangkang yang sokong langkah membanteras rasuah. Bagi saya aneh.
“Saya semasa menjadi pembangkang, bila ada cadangan pemerintah (berkenaan) usul SPRM, saya dukung. Malah saya kata belum cukup berani (tindakan diambil kerajaan).
“Baru-baru ini ada tindakan SPRM terhadap salah satu tokoh besar yang dianggap paling maha kaya. Belum ada suara daripada pembangkang,” katanya pada Khamis.
Perdana Menteri berucap merasmikan Sidang Kemuncak Anti-Rasuah Kebangsaan (NAC Summit) 2024 di ibu negara, hari ini.
Turut hadir Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong; Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dan Ketua Eksekutif HRD Corp; Datuk Shahul Dawood.
Perdana Menteri menambah, usaha memerangi rasuah oleh SPRM tidak boleh dianggap mudah.
Jelas beliau, ini kerana agensi anti rusuah itu berdepan dengan musuh yang disifatkan sebagai ‘gergasi’ dan paling kaya dalam negara.
“Mereka menguasai dunia, kuasai Parlimen dan ada antara mereka mengasaskan parti, semata-mata untuk mengekang semangat perubahan ini.
“… dan kerana mereka terdidik, punyai dana yang besar dan kecanggihan, kepintaran kuasa serta pengaruh. Sebab itu perlu waspada.
“Kita ada pilihan dalam negara Madani. Untuk berundur atau melangkah terus (seperti pepatah) membujur lalu, melintang patah. Saya memilih memujur lalu, melintang patah kerana ini sahaja jaminan masa depan,” tegas Anwar.
Dalam masa sama, beliau menyarankan agar acara melibatkan kepentingan menanggani rasuah perlu diperluaskan ke seluruh negara bagi memberi pendidikan kepada masyarakat.
Jelas Perdana Menteri, rasuah dalam negara telah berada pada tahap sistemik dan mengakibatkan negara kerugian puluhan bilion ringgit.
“Kefahaman rasuah itu sangat mendatar dan dangkal. Dia lupa berpuluh bilion sampai ke empat atau lima orang itu sepatutnya hak mereka (rakyat).
“Ketidaksalinghubungan ini harus diberi kefahaman. Kena beritahu berapa (negara) hilang (akibat rasuah) iaitu sebanyak RM2 bilion. Sepatutnya (kerugian) sampai ke mana? Elaun penjawat awam," tambah beliau.