Pembalakan tak jejas populasi harimau? Kelantan pertahan kenyataan Pengarah Perhutanan Negeri
Muhafandi Muhamad
Januari 25, 2022 17:47 MYT
Januari 25, 2022 17:47 MYT
KOTA BHARU: Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, mempertahankan kenyataan Pengarah Perhutanan Negeri yang menyatakan pembalakan tidak menjejaskan populasi harimau.
Beliau berkata, pembalakan yang teratur serta mengikut peraturan yang ditetapkan oleh Majlis Tanah Negara membantu pengurusan dan kestabilan hutan.
"Yang dia (Pengarah Perhutanan negeri, Abdul Khalim Abu Samah) sebut itu betul... ada kajian orang buat.. WWF (Tabung Hidupan Liar Sedunia).
"Berdasarkan pandangan itu makna pembalakan ini... maksudnya pembalakan terpilih boleh bantu pengurusan hutan. Tak bangkitlah isu orang salahkan pembalakan seolah-olah pembalakan menyebabkan harimau keluar.. banjir dan lain-lain.
"Semua itu tak betul, kita amalkan 'sustainable logging' (pembalakan mampan)," katanya di sini, hari ini.
Mohd Amar turut mempersoalkan, sekiranya pembalakan menyebabkan harimau keluar, mengapa binatang liar lain seperti gajah, beruang dan sebagainya tidak berkeliaran di perkampungan Orang Asli.
Semalam Abdul Khalim dilapor berkata, aktiviti pembalakan yang teratur baik untuk untuk pertambahan populasi harimau berdasarkan kajian seorang pakar dari Sarawak.
Katanya apabila ada aktiviti pembalakan, banyak tumbuhan baharu tumbuh yang seterusnya menarik minat haiwan seperti kancil dan sebagainya untuk datang ke kawasan tersebut.
Mengulas lanjut, Mohd Amar berkata hutan simpan dibahagikan kepada dua iaitu hutan simpan perlindungan dan hutan simpan pengeluaran yang dikhususkan untuk aktiviti pembalakan yang terikat dengan peraturan catuan tebangan.
Kelantan katanya mempunyai hutan simpan berkeluasan ratusan ribu hektar yang tidak diusik.
Beliau juga meminta orang ramai tidak menyalahkan pembalakan sebagai punca harimau keluar atau kejadian banjir.