Pembalakan haram, pengubahan hutan ancam santuari hidupan liar Kinabatangan

Bernama
November 11, 2015 08:51 MYT
Kajian mendapati beberapa spesies penting di hutan Kinabatangan semakin berkurangan akibat aktiviti pembalakan haram dan pembukaan tanah untuk pertanian. - Gambar hiasan
Pembalakan haram dan pengubahan hutan mengancam Santuari Hidupan Liar Kinabatangan (LKWS).
Pengarahnya Dr Benoit Goossens berkata haiwan masih diburu walaupun sudah 10 tahun selepas LKWS diwartakan sebagai kawasan yang dilindungi sepenuhnya.
Malah, hutan yang menjadi habitat haiwan juga dimusnahkan, katanya.
"Dalam tempoh enam bulan lepas, warden hidupan liar yang membuat rondaan di hilir Kinabatangan melaporkan beberapa perbuatan pembalakan dan pemburuan haram.
"Sebahagian daripada tanda-tanda ini direkodkan dalam Lot 5 dan 6 LKWS, berdekatan Pusat Lapangan Danau Girang (DGFC)," katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.
Goossens berkata terdapat bukti pembalakan haram dengan adanya tunggul pokok dan gambar pemburu yang dirakam melakukan aktiviti pemburuan haram.
Sementara itu, Pengarah Saintifik HUTAN, sebuah badan bukan kerajaan, Dr Marc Ancrenaz berkata beberapa spesis haiwan telah pupus dari Kinabatangan baru-baru ini, seperti badak dan tembadau (lembu liar), sementara spesies lain seperti orang utan, monyet Belanda dan harimau dahan yang masih ditemui di
kawasan lembah, juga menurun.
"Haiwan-haiwan ini juga boleh pupus dalam masa terdekat. Dalam kes ini, Kinabatangan akan hilang tarikan sebagai destinasi pelancongan.
"Punca utama (jumlah haiwan ini) menurun ada kaitan dengan pengubahan hutan untuk pertanian serta pembalakan dan pemburuan haram," katanya.
Ancrenaz juga memuji kerajaan dan organisasi yang menyokong usaha-usaha pemulihan hutan di kawasan berkenaan, namun langkah-langkah itu sia-sia jika pembalakan haram terus berleluasa dan lebih banyak hutan diubah untuk tujuan pertanian.
#Kinabatangan #LKWS #pembalakan haram #pemburu haram
;