Pembakaran terbuka punca jerebu di Sibu

Astro Awani
Julai 30, 2014 14:42 MYT
IPU di Sibu mencatatkan bacaan 136
Keadaan jerebu yang teruk di bahagian tengah Sarawak terutamanya di Sibu sejak Sabtu lalu berpunca daripada kegiatan pembakaran terbuka di daerah itu, lapor Utusan Sarawak.
Pengawal Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB), Peter Sawal berkata pembakaran terbuka itu sukar dikawal kerana membabitkan kawasan tanah gambut ditambah masalah tekanan air rendah.
Jelas beliau, semua agensi berkenaan termasuk bomba dan pihak berkuasa tempatan sudah digerakkan untuk memantau dan mengekang aktiviti pembakaran terbuka itu.
"Jerebu di Sibu banyak disumbang oleh aktiviti pembakaran terbuka melibatkan kawasan belukar, lalang dan tepi jalan yang mungkin bermula daripada api kecil tetapi gagal dikawal sehingga merebak ke kawasan lebih luas," katanya seperti dipetik oleh akhbar itu.
Peter juga percaya kebakaran itu berpunca akibat perbuatan lalai orang ramai semasa membersihkan kawasan kediaman atau membuang puntung rokok secara sembarangan di tepi jalan.
Sementara itu, Peter memaklumkan pihaknya sudah menghentikan sementara pengeluaran lesen pembakaran terbuka sejak minggu lepas ekoran keadaan cuaca kering yang semakin membimbangkan.
Selain Sibu, Kuching, Samarahan dan Sri Aman turut mengalami jerebu yang dipercayai berpunca akibat pembakaran terbuka di Kalimantan, Indonesia.
Dalam pada itu, Pengarah Bomba dan Penyelamat Negeri Sarawak, Nor Hisham Mohamad berkata semua 22 balai bomba di seluruh negeri diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga.
Kualiti udara di Sibu mencatatkan bacaan tidak sihat iaitu 204 pada Isnin dan beransur baik pada Selasa. Setakat jam 1 petang Rabu, kualiti udara di Sibu mencatatkan bacaan IPU pada 136.
#jerebu #Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar #NREB #Peter Sawal #Sibu
;