Pembakaran terbuka di Sarawak membimbangkan - Bomba
Bernama
Julai 28, 2024 15:15 MYT
Julai 28, 2024 15:15 MYT
SIBU: Trend pembakaran terbuka di Sarawak sejak Isnin lepas sangat membimbangkan apabila jumlah kes mencatatkan peningkatan mendadak semalam.
Pemangku Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak Tiong Ling Hii berkata sebanyak 68 kes dilaporkan melibatkan keluasan lebih 59 hektar sepanjang tempoh enam hari berkenaan.
Beliau berkata bagi kebanyakan kes, kebakaran adalah disengajakan, bukan sahaja untuk pertanian malah bagi tujuan pembakaran sisa kayu, kertas atau sampah dan gagal dikawal apabila api merebak.
"Trend pembakaran terbuka menunjukkan peningkatan mendadak dan jumlah kes pembakaran tertinggi dicatatkan pada hari Sabtu (27 Julai) iaitu peningkatan sebanyak 87 peratus.
"Kalau melihat kepada trend yang berlaku menunjukkan peningkatan dalam aktiviti pembakaran terbuka setiap hari dan keadaan semalam, sebanyak 28 kes kebakaran terbuka merupakan yang tertinggi dan sangat membimbangkan berbanding hari sebelumnya 15 kes sahaja," katanya kepada Bernama.
Tiong berkata kes seumpama itu dapat dielak sekiranya orang awam bersama-sama menghentikan segala bentuk aktiviti pembakaran terbuka sepanjang musim cuaca panas dan kering ketika ini.
"JBPM akan meningkatkan kerjasama dengan JAS (Jabatan Alam Sekitar) dan NREB (Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak) dengan mengadakan kempen elakkan pembakaran terbuka melalui hebahan media dan advokasi ke lapangan," katanya.
Beliau berkata pihaknya akan meningkatkan rondaan termasuk bersama 58 Pasukan Bomba Sukarela seluruh Sarawak supaya insiden pembakaran terbuka dapat ditangani dengan cepat.
Pihak bomba katanya akan turut mendekati masyarakat awam menerusi Pasukan Bomba Komuniti yang ditubuhkan JBPM bagi menyampaikan nasihat mengenai akibat pembakaran terbuka ketika musim panas dan kering.
-- BERNAMA