Pembakaran sampah punca kebakaran hutan Batu Caves

T K Letchumy Tamboo
Februari 27, 2016 15:57 MYT
Kebakaran di sebahagian hutan di bukit batu kapur Batu Caves semalam dipercayai berpunca daripada pembakaran sampah oleh penduduk sekitar kawasan tersebut. -Astro AWANI / Tan Su Lin
Kebakaran di sebahagian hutan di bukit batu kapur Batu Caves semalam dipercayai berpunca daripada pembakaran sampah oleh penduduk sekitar kawasan tersebut.
Penolong Pengarah Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul berkata ini adalah maklumat yang diterima daripada siasatan awal.
“Daripada maklumat awal, punca kebakaran dikenal pasti sebagai pembakaran sampah yang merebak ke keseluruhan kawasan,” katanya ketika dihubungi oleh Astro AWANI.
Katanya, operasi pemadaman api di Kampung Sri Gombak yang masuk ke hari kedua hari ini, melibatkan lebih kurang 70 anggota dari pelbagai agensi.
“Hari ini, kita dapati bahawa kebakaran telah mengecil di mana kebakaran di tepi bukit dan lereng telah habis sepenuhnya, walaupun kita dapati terdapat tiga ‘spot’ pembakaran yang berlaku di puncak bukit yang terlibat.
“Kita telah mengarahkan pasukan khas kita untuk membuat tinjauan dan kaedah pemadaman yang seterusnya,” katanya.
Beliau berkata, buat masa ini penggunaan helikopter sebagai cara memadamkan api masih sedang dipertimbangkan.
“Buat masa ini kita menggunakan pemadaman api daripada bawah, di mana pengawalan di sekitar kawasan perumahan yang berhampiran.
“Cuma dari segi puncak itu kita akan melihat kaedah yang terbaik untuk pergi ke sana dengan risiko dan cabaran yang ada dan kita akan lihat cara untuk mempercepatkan pemadaman api,” katanya.
Semalam, kawasan hutan melibatkan kawasan seluas kira-kira 12 hektar di Batu Caves telah terbakar.
Kawasan hutan itu terletak kira-kira satu kilometer dari kuil Sri Subramaniar.
#Batu Caves #bukit batu kapur #kebakaran #Mohd Sani Harul #pembakaran sampah
;