Pembakaran haram, 8 petani ditahan di Sumatera

Arfa Yunus
Jun 25, 2013 22:44 MYT
Lapan petani dilaporkan ditahan pihak polis Indonesia kerana didakwa menyebabkan pembakaran haram di kepulauan Sumatera, aktiviti yang telah menyebabkan masalah jerebu yang teruk di beberapa bahagian di Indonesia, Singapura dan Malaysia.
Jurucakap polis Indonesia, Leftenan Kolonel Hermansyah yang dipetik oleh portal berita Singapura todayonline.com hari ini berkata, petani berkenaan ditahan semalam dan hari ini. Walaubagaimanapun beliau tidak memberitahu sama ada mereka yang ditahan bekerja dengan mana-mana syarikat terkemuka seperti yang dihebahkan sengaja menyebabkan kebakaran tersebut.
Hermansyah menambah, kira-kira 1,000 penduduk terpaksa berpindah apabila asap tebal yang disebabkan oleh pembakaran hutan paya dan ladang kelapa sawit yang menyukarkan orang ramai di situ bernafas.
Sehari selepas memohon maaf kepada negara-negara jirannya, Singapura dan Malaysia, Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono telah mengerahkan seramai 3,000 anggota tambahan hari ini bagi meneruskan usaha memadam kebakaran.
#ditahan #jerebu #kebakaran #lapan petani #polis #Sumatera
;