Pembaharuan portal data terbuka kerajaan mantapkan ketelusan sektor awam

Bernama
September 13, 2023 10:08 MYT
Anwar berkata pembaharuan portal data.gov.my membuktikan bahawa sesuatu produk bertaraf dunia dapat dihasilkan dengan pantas sekiranya kerajaan berjaya menarik bakat yang sesuai untuk berkhidmat dalam sektor awam. - Gambar fail/BERNAMA
PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkata pembaharuan portal Data Terbuka Sektor Awam (data.gov.my), yang merupakan portal data terbuka rasmi Kerajaan Malaysia, menandakan permulaan era baharu bagi memantapkan ketelusan sektor awam.
Beliau berkata portal yang diluncurkan hari ini oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali itu dilengkapi dengan API Terbuka rasmi Malaysia, papan pemuka bersifat analitik, katalog data serta kecerdasan buatan.
"Pembaharuan portal merangkumi pelbagai set data terperinci dan berfrekuensi tinggi secara terbuka tentunya mampu mendorong inovasi berpacukan data di sektor awam dan swasta," katanya dalam satu kenyataan hari ini mengenai pembaharuan portal berkenaan.
Pada waktu yang sama, beliau berkata portal OpenDOSM (open.dosm.gov.my) juga telah dinaik taraf sebagai salah satu komponen penting dalam infrastruktur data terbuka nasional.
Anwar berkata beliau amat berbangga kerana kejayaan ini dicapai dalam tempoh empat bulan sahaja atas usaha yang diterajui oleh Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) bersama Unit Nukleus GovTech.
Anwar berkata pembaharuan portal data.gov.my membuktikan bahawa sesuatu produk bertaraf dunia dapat dihasilkan dengan pantas sekiranya kerajaan berjaya menarik bakat yang sesuai untuk berkhidmat dalam sektor awam.
Beliau juga berharap semua kementerian, jabatan, dan agensi sektor awam memberi kerjasama penuh kepada MAMPU dalam terus memperkasakan usaha penyediaan data terbuka.
"Ketelusan merupakan salah satu tunjang kepada sebuah demokrasi yang subur, maka sektor awam perlu memantapkan ketelusan dalam mendukung amanah kerajaan kepada rakyat Malaysia," katanya.
Anwar berkata kerajaan memainkan peranan penting dalam membina ekosistem pendorong yang akan merancakkan ekonomi berteraskan digital dan meningkatkan daya saing negara di rantau Asia Tenggara dan persada dunia
Ia selaras dengan kerangka Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat yang menekankan agenda pendigitalan sebagai pemacu inovasi dan pencambah produktiviti negara, katanya.
Sehubungan itu, katanya kerajaan bertanggungjawab untuk mempergiat revolusi digital dalam sektor awam dan salah satu inisiatif termasuklah penubuhan Government Technology atau GovTech Malaysia.
"Di samping MAMPU yang memainkan peranan penting dalam merancang dan menyelaras pendigitalan sektor awam, pendekatan GovTech adalah untuk membolehkan pelaksanaan projek digital sektor awam tanpa penglibatan perunding dan kontraktor luar," katanya.
Mohd Zuki pada Persidangan Digital Sektor Awam 2023 di sini hari ini berkata GovTech Malaysia diwujudkan bagi memperhebat revolusi digital ke arah meningkatkan keupayaan kerajaan dalam kualiti data awam, inovasi awam serta perkhidmatan awam secara lebih holistik.
GovTech Malaysia merupakan pendekatan "Whole of Government" dalam pemodenan sektor awam, yang menekankan kepada tiga aspek iaitu berpaksikan rakyat, akses universal kepada perkhidmatan kerajaan dan pendekatan keseluruhan kerajaan terhadap transformasi kerajaan digital yang dipelopori oleh Bank Dunia, katanya.
-- BERNAMA
#Perdana Menteri Anwar Ibrahim #Data Terbuka Sektor Awam #portal data terbuka rasmi #Mohd Zuki Ali