Pembaharuan perlu dibuat biarpun semakan subsidi mungkin cetus inflasi - SERC

Bernama
Disember 7, 2023 06:45 MYT
Ekonomi Malaysia diunjur berkembang pada 3.9 peratus dalam tempoh sembilan bulan pertama 2023 manakala suku terakhir diunjur sekitar empat peratus, disokong oleh pelancongan. - Gambar hiasan
PETALING JAYA: Hasrat kerajaan untuk menyemak semula kawalan harga dan subsidi pada 2024 akan memberi kesan terhadap prospek inflasi serta permintaan di Malaysia ketika negara melakukan peralihan serta penetapan dasar bagi melaksanakan pembaharuan serta dasar yang dijanjikan.
Ahli Ekonomi dan Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan Sosioekonomi (SERC), Lee Heng Guie berkata, inflasi dijangka meningkat pada paras 2.8-3.5 peratus pada 2024 daripada anggaran 2.5 peratus tahun ini.
"Risiko itu disumbangkan oleh turun naik kadar pertukaran serta faktor berkaitan bekalan seperti harga komoditi global, ketidaktentuan geopolitik dan cuaca," katanya pada program Siri CEO 2023: Forum Ekonomi dan Perniagaan anjuran Institut Rehda, di sini, pada Khamis.
Sebelum ini, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, kerajaan akan melaksanakan program subsidi bersasar RON95 pada separuh kedua 2024 dalam usaha mengoptimumkan sumbernya.
Beliau berkata, dengan kumpulan 20 peratus berpendapatan tinggi atau T20 menikmati 53 peratus daripada subsidi bahan api secara menyeluruh, ia adalah model yang tidak mampan atau saksama.
"Berdasarkan kewangan awam kita yang mengalami defisit fiskal lebih 5.0 peratus selama tiga tahun berturut-turut, kita mesti mencari kaedah baharu untuk menggerakkan sumber serta mengurangkan lagi pembaziran dalam sistem," kata Rafizi.
Dalam pada itu, Lee menerusi pembentangannya pada program itu, menyifatkan ruang fiskal kerajaan yang terhad sebagai antara faktor yang mengekang pertumbuhan.
"Kita tahu apa yang tidak kena serta apa yang perlu diubah. Kita juga harus menanggung kos (impak daripada) peralihan serta pelarasan ini apabila membuat pembaharuan radikal dan memperkemas sistem," katanya.
Mengulas aspek pertumbuhan, beliau berkata, ekonomi Malaysia diunjur berkembang pada 3.9 peratus dalam tempoh sembilan bulan pertama 2023 manakala suku terakhir diunjur sekitar empat peratus, disokong oleh pelancongan.
"Bagi tahun depan, saya menjangkakan pertumbuhan ekonomi kira-kira 4.5 peratus iaitu dalam julat yang diunjurkan oleh kerajaan.
"Berikutan itu, semua sektor dijangka terus mencatat pertumbuhan pada tahun depan dengan pemacu utamanya adalah sektor perkhidmatan dan diikuti pemulihan sektor perkilangan," katanya.
Menurut Lee, sektor perkhidmatan akan kekal kukuh dengan mencatat pertumbuhan 5.3 peratus, disokong oleh industri peruncitan serta bergantung kepada pemulihan dalam segmen pelancongan. - BERNAMA
#kawalan harga dan subsidi #Inflasi #SERC #defisit fiskal
;