Pembaharuan berterusan dalam pemikiran Islam: Perlu atau tidak?
Anas Alam Faizli
November 16, 2016 17:12 MYT
November 16, 2016 17:12 MYT
Tiga belas tahun lalu, adik saya, Dr Afif menyempurnakan tugas berat menghafal Al-Quran dalam masa singkat tidak melebihi 18 minggu.
Selepas PMR, beliau telah memilih untuk menjadi seorang al-Hafiz berbanding menyambung pelajarannya ke Tingkatan 4.
Alhamdulillah, saya berbangga dengan kebijaksanaan beliau!
Lantas pelbagai idea muncul dalam fikiran untuk mengembangkan potensi dirinya.
Bayangkan gabungan hebat bidang ilmu wahyu dan ilmu sains.
Cadangan itu dikongsikan dengannya apabila berbicara mengenai halatuju perjalanan persekolahannya untuk pendidikan menengah tinggi.
Di waktu itu, memandangkan kemampuannya menghafal Al-Quran, saya berpendapat beliau wajar menyambung pengajian dalam Aliran Sains dan kemudiannya belajar dalam bidang Perubatan.
Lagipun, datuk sebelah emak memang mahukan seorang cucu dalam bidang kedoktoran.
Fikir saya, dengan langkah begitu, beliau akan lebih dihormati berbanding kelompok Ustaz biasa.
Merenung kembali, apakah agaknya yang menyebabkan saya berfikir seperti itu?
Mungkin, ketika itu idea menjadi seorang Ustaz tanpa pengetahuan dalam ilmu Sains, menurut saya bukanlah seorang yang berwibawa.
Beberapa tahun selepas itu terlintas juga mungkin sepatutnya saya mencadangkan beliau menyambung pengajian dalam bidang Hadis kerana kita sangat kekurangan pakar Hadis.
Allama Iqbal (1877-1938) dalam kompilasi syarahannya berjudul “The Reconstruction of Religious Thought in Islam” menyentuh persoalan yang mustahak ini.
Adakah Sains selari dengan Agama?
Manusia moden telah cuba memisahkan agama daripada sains dan sejarah.
Mereka mahu mengekang agama supaya terus wujud hanya dalam ruang lingkup dinding masjid.
Bagi mereka, sekularisme ialah kemajuan.
Hasilnya, manusia kehilangan jiwa.
Menurut Iqbal, di akhirnya hanya akan ada satu kebenaran. Kebenaran yang ditemui agama tidak boleh dibezakan daripada kebenaran yang ditemui sains atau sejarah.
Dalam kompilasi yang sama, beliau berhujah, “Untuk mempunyai siri pemikiran dan kejiwaan yang identikal bermaksud langsung tidak mempunyai perasaan dan pemikiran. begitulah majoriti kejadiannya di kebanyakkan negara Islam hari ini.
Mereka secara mekanikalnya hanya mengulangi nilai-nilai lama…”
Kekecewaan yang dirasai Iqbal bukanlah perkara baru.
Segelintir berhujah bahawa Iqbal telah terlalu berlebihan dalam mengemukan idea-ideanya.
Terdapat juga pihak yang menghargai ideanya seperti Tariq Ramadan, seorang tokoh perubahan.
Kekecewaan yang dirasa Iqbal telah muncul daripada semasa ke semasa sejak lahirnya Islam sehingga hari ini.
Satu contoh ialah Ibn al-Qayyim, salah seorang “anak murid paling berpengaruh” Ibn Taymiyyah yang konsisten dalam mencari kaedah baru bagi menghadapi masalah kurun ke-13.
al-Qayyim menitikberatkan “teori berasaskan bukti” berbanding testimoni lisan.
Beliau mencari kaedah saintifik dalam soal bagaimana hendak membuktikan hubungan darah si anak dan si bapa dengan menggunakan pendapat ahli-ahli pakar dengan mengenalpasti persamaan fizikal muka.
Beliau juga berpendapat seorang hakim wajar mendapatkan contoh air mani si suami untuk diuji di makmal bagi mengenalpasti kesuburannya apabila si isteri memohon cerai menggunakan alasan itu.
Kini, contoh tadi kelihatan mundur, namun pada abad ke-13, ianya adalah satu kemajuan.
Satu gabungan sains dan agama.
Ketika itu, Imam yang wujud berpegang dengan kaedah-kaedah lama yang diwarisi sedangkan masalah yang mencengkam dan melanda Ummah dalam pelbagai bidang sudah banyak berubah, baik dalam bidang sains, ekonomi, perubatan serta dalam hampir semua aspek kehidupan manusia dan masyarakat.
Tariq, Iqbal dan Qayyim pastinya mempunyai perbezaan antara satu sama lain, misalnya dalam soal bid’a tetapi pada asasnya kita boleh bersetuju yang mereka terus menerus mahukan perubahan untuk memenuhi perubahan zaman dan persekitaran yang telah berlaku.
Perubahan pemikiran Islam ialah satu proses berterusan yang berubah mengikut keadaan semasa disebabkan pelbagai sebab.
Perlu kita sedari bahawa Imam As-Shafie sendiri telah mengubah beberapa pandangannya dalam isu tertentu dalam jangka masa yang singkat.
Pengikut Imam Abu Hanifah juga mempunyai pandangan berbeza dengan pengikut sebelumnya dan mengatakan yang sekiranya Abu Hanifah masih hidup, dia mungkin mengambil pandangan dan pendirian mereka disebabkan perubahan yang berlaku.
Abu Hanifah sendiri pernah mengeluarkan tujuh pandangan yang berbeza mengenai sebuah isu yang sama disebabkan perubahan persekitaran atau perspektif.
Begitulah hakikatnya wujud ruang untuk perubahan pandangan yang berterusan.
Walaupun banyak perkara dalam Islam sudah tetap dan tiada ruang untuk perubahan; yakni dalam soal aqidah, namun terdapat banyak lagi ruang lain yang memerlukan perubahan.
Banyak bidang yang menuntut dan memerlukan perubahan pemikiran.
Perubahan pemikiran Islam yang berterusan satu keperluan.
Masyarakat wajib mengatakan tidak dan menentang kejumudan serta berhenti menolak untuk melihat sesuatu perkara daripada aspek yang berbeza, serta bersikap terbuka kepada kemungkinan yang kita mungkin tersalah dalam berpendapat.
Masyakarat memerlukan penyelesaian baru untuk setiap masalah baru yang muncul dan hadir selari dengan perubahan zaman atau perbezaan geografi atau disebabkan komposisi kaum atau agama di sesebuah negara.
Terdapat pihak dalam masyarakat yang telah menjadi terlalu jumud sehingga mereka terlupa yang asas kepada teori perundangan (Usul al-Fiqh) di mana semua perkara adalah dibenarkan kecuali dibuktikan Haram dan bukan sebaliknya.
Islam adalah sebuah agama yang mementingkan berfikir.
Sekiranya pemikiran digalakkan, perbincangan dan perdebatan dipupuk dan sering diteruskan, intelektualisme dan kemajuan akan rancak berkembang.
Manusia perlu terus berfikir dan bersoal.
Ini penting demi memahami matlamat hukum, peraturan atau sesuatu sistem.
Mungkin ini akan kelihatan seperti menggalakkan penglibatan dalam aktiviti pemberontakan yang tidak diperlukan atau dilihat seperti mempersoalkan serta mengancam agama.
Sesungguhnya berfikir bukanlah seperti itu.
Sepanjang zaman, peradaban Islam telah menyaksikan bagaimana idea baru sering ditolak tanpa penilaian yang sewajarnya.
Peradaban Islam menjadi saksi bagaimana pada mulanya idea demokrasi ditolak kerana dikatakan haram dan perlu ditentang oleh Islam secara sepenuhnya.
Peradaban Islam juga melihat bagaimana idea wanita dibenarkan untuk mengundi ditolak dan ditentang kerana dihukumi haram.
Perubahan pemikiran dan penilaian pemikiran yang berterusan telah berjaya menilai semula idea-idea ini dan hari ini kita mendapati yang demokrasi walaupun tidak sempurna tetapi sangat selari dengan semangat Islam dan hari ini juga masyarakat menyokong pemimpin wanita dalam pelbagai isu pada masa kini.
Saya tidak mempunyai otoriti untuk bercakap soal ini tetapi saya takut memikirkan apa yang sedang berlaku.
Saya bimbang bagaimana nama baik Islam terus dicemari dan dalam banyak perkara disumbangkan oleh orang Islam sendiri.
Saya bimbang masyarakat akan terus menjauhi Islam untuk mencari penyelesaian kepada masalah yang mencengkam Ummah.
Masalah yang wujud dalam perangkaan dasar, kesihatan, alam sekitar, ekonomi, keselamatan, kesejahteraan negara dan pelbagai lagi.
Sekiranya para intelek tidak terus menerus menilai kembali persekitaran yang berubah sesuai dengan perubahan zaman serta sentiasa berusaha menyediakan jawapan dan penyelesaian terkini kepada rakyat, konsep bahawa Islam itu Syumul dan meliputi semua aspek kehidupan tidak akan dapat lagi dirasai oleh orang Islam.
Mereka tidak dapat merasakan kesyumulan itu kerana mereka melihat Islam tidak mampu memberikan dan menawarkan jawapan menyeluruh kepada masalah kehidupan dan permasalahan masyarakat.
Sekiranya para intelek gagal untuk merubah pemikiran dalam persekitaran dan perubahan zaman, masyarakat akan menjauhkan diri daripada mengikuti prinsip agama dan konsep dimana Islam itu Syumul tidak akan diterima.
Konsep bahawa Islam adalah Rahmatan Lil Alamin (rahmat kepada semua alam) tidak akan dirasai oleh kemanusiaan.
Islam ialah sebuah agama cinta, kemaafan dan keamanan.
Sebuah agama yang menggalakkan dan menyemai kekuatan di kalangan pengikutnya.
Islam bukanlah satu agama yang menghukum dan menakut-nakutkan pengikutnya.
"Musuh terbesar Islam adalah orang Islam yang jahil, yang kejahilannya membawanya kepada sikap tidak bertoleransi, dimana tindakannya memusnahkan imej Islam yang sebenar, dan apabila orang melihat dia, mereka berfikir bahawa Islam adalah apa yang dia adalah." Ahmed Deedat, (1918- 2005)
Masyarakat tidak dapat lari untuk terus belajar, melupakan pembelajaran dan terus belajar semula. Wallahu a’lam.
*Anas Alam Faizli memegang Ijazah Kedoktoran. Beliau seorang profesional bidang minyak dan gas serta penulis buku Rich Malaysia, Poor Malaysians dan berTwitter di @aafaizli
**Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Astro AWANI.