Pembaharuan aplikasi THiJARI tingkat keselamatan tabungan pendeposit

Bernama
Jun 28, 2024 18:00 MYT
Zulkifli (tengah) pada Majlis Pelancaran Projek Tuisyen Rakyat Anak Kedah Berhad (PINTAR) Fasa 2, di White Space Koperasi Anak Kedah Berhad, hari ini. - Foto Bernama
ALOR SETAR: Kerajaan memberi jaminan perkhidmatan aplikasi THiJARI milik Lembaga Tabung Haji (TH) selamat digunakan walaupun beberapa pembaharuan dilakukan bagi memperkemaskan lagi aplikasi itu.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hasan meminta para pendeposit tidak bimbang dengan langkah yang diambil kerana sehingga kini tiada bukti aplikasi tersebut digodam sehingga kehilangan wang simpanan pendeposit.
"Kita menerima setakat ini (sehingga Mei), 222 aduan dan semuanya terlibat dengan penipu (scammer) dan juga melibatkan kecuaian pendeposit. Kita ada membuat beberapa peningkatan sepertimana kita membuat beberapa pembaharuan kepada THiJARI.
"Kita ada membuat inisiatif tambahan itu untuk memperkukuhkan lagi (aplikasi) itu, memang dah selamat dan tiada bukti ia pernah digodam dan kita komited ke arah meningkatkan keselamatan aplikasi tersebut itu," katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Fasa 2 Projek Tuisyen Rakyat Anak Kedah (PINTAR) Koperasi Anak Kedah Berhad, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Zulkifli berkata pihaknya turut bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi menangani isu berkenaan.
"TH membuat beberapa cara peningkatan dengan kata laluan dan teknik keselamatannya ditingkatkan, tetapi apa pun ia bergantung kepada pendeposit sendiri agar tidak mudah terpedaya dengan scammer," katanya.
Zulkifli turut mengingatkan para pendeposit supaya tidak menekan pautan (link) dari sumber tidak diketahui atau yang menawarkan pulangan pelaburan lumayan atau memberikan maklumat peribadi kepada pihak lain.
Semalam, ketika sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat, Zulkifli dilaporkan berkata tiada bukti yang mengesahkan perkhidmatan aplikasi THiJARI digodam sehingga menyebabkan pendeposit kehilangan wang simpanan.
Katanya, siasatan TH mendapati pendeposit yang kehilangan wang dalam akaun disebabkan menjadi mangsa kepada aktiviti penipuan dengan pelbagai cara antaranya tawaran pulangan pelaburan yang tinggi, menekan pautan fail aplikasi (APK), memberi kata laluan dan kod TAC (kod pengesahan transaksi).
-- BERNAMA
#aplikasi THiJARI #tingkat keselamatan #Tabung Haji #tabungan pendeposit #Zulkifli Hasan
;