Pembabitan Interpol hanya akan buat saya lebih 'popular' - Jocelyn Chia
Astro Awani
Jun 15, 2023 14:54 MYT
Jun 15, 2023 14:54 MYT
KUALA LUMPUR: Pelawak kontroversi, Jocelyn Chia memberitahu BBC dia tidak berniat mempersendakan tragedi dan mangsa MH370, tetapi cuba mencari jenaka dalam tragedi tersebut.
Malah Chia, yang dibesarkan di Singapura, melihat penglibatan Interpol sebagai tidak masuk akal.
"Saya harap saya dapat melihat wajah pegawai Interpol yang menerima arahan ini.
"Jika Interpol melakukan sesuatu mengenai permintaan ini, bolehkah anda bayangkan betapa terkenalnya saya nanti?" katanya seperti dipetik dari portal berita BBC itu pada Khamis.
Selasa lalu, Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani memaklumkan permohonan akan dibuat kepada Interpol untuk mendapatkan identiti penuh Chia dan lokasi terkini.
Interpol memaklumkan belum menerima permintaan bantuan dalam kes itu daripada polis Malaysia.
Chia berkata, skrip yang berasaskan roasting atau menyindir penonton adalah sebahagian daripada budaya kelab komedi di New York. Malah, pelawak di Amerika sering menggunakan serangan pengganas 11 September sebagai bahan jenaka mereka.
"Saya telah mempersembahkan jenaka yang sama beratus kali dan juga melakukan versi yang lebih pendek di Singapura. Ia sentiasa berjaya membuat penonton ketawa. Saya tidak akan menggunakan jenaka yang sama jika ia tidak berkesan," katanya.
Chia bergurau dalam video tular bahawa jet Malaysia "tidak boleh terbang", merujuk kepada penerbangan Malaysia Airlines yang hilang pada 2014, topik sensitif di negara ini.
Video itu menimbulkan kekecohan dan telah dialih keluar oleh platform media sosiak TikTok, yang memetik ia sebagai pelanggaran garis panduan ucapan kebencian.