Pematuhan SOP ziarah Aidilfitri memuaskan, tiada kompaun Syawal pertama - Bukit Aman

Agensi
Mei 14, 2021 19:08 MYT
Abd Rahim berkata tiada sebarang kompaun dikeluarkan berhubung kesalahan itu semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Khamis. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Pematuhan orang ramai terhadap prosedur operasi standard (SOP) khususnya kesalahan berkaitan larangan kunjung-mengunjung atau ziarah Aidilfitri berada di tahap memuaskan.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Abd Rahim Jaafar, berkata tiada sebarang kompaun dikeluarkan berhubung kesalahan itu semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Khamis.
Beliau berkata yang ada hanyalah kompaun dikenakan ke atas kesalahan tidak memakai topeng muka selain tidak mengamalkan penjarakan fizikal, lapor Bernama.
"Pemerhatian di kawasan perumahan juga mendapati jumlah kenderaan adalah tidak banyak menandakan tiada aktiviti berkumpul yang ketara oleh orang awam.
"Walau bagaimanapun pemantauan dan rondaan akan kekal dilakukan dari semasa ke semasa dalam memastikan keadaan ini kekal untuk jangka masa yang lama," katanya ketika ditemui Bernama pada Jumaat.
Terdahulu, di TERENGGANU, Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Abdul Rozak Muhammad mengesahkan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Azman Ibrahim pada Jumaat didenda RM2,000 setelah didapati melanggar SOP Aidilfitri.
Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi sebelum itu tampil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Besut selepas tular di laman sosial gambar beliau dikunjungi seorang tetamu lelaki pada Khamis.
BACA: Exco Terengganu didenda RM2,000 langgar SOP Aidilfitri
Sementara itu, di SELANGOR, polis terus membuat pemantauan di semua kawasan bagi mengelakkan aktiviti kunjung-mengunjung dilakukan oleh orang ramai.
Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Baharudin Mat Taib berkata pihaknya memantau di semua kawasan dan akan juga bertindak berdasarkan maklumat orang awam yang dibuat kepada Bilik Gerakan COVID-19 di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam
Di MELAKA, sebanyak 1,031 rumah diperiksa semalam bagi memastikan tiada aktiviti ziarah sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri selaras dengan SOP yang ditetapkan bagi mengekang penularan COVID-19.
Pegawai Turus Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka DSP Nik Ab Halim Nikmat berkata jumlah itu melibatkan pemeriksaan di 471 rumah di daerah Melaka Tengah, Alor Gajah (322) dan Jasin (238).
Di JOHOR, lebih 40 pegawai dan anggota polis telah ditugaskan untuk menjalankan pemeriksaan di kawasan perumahan penduduk di sekitar Kota Tinggi, Segamat, Kulai dan Pontian.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Hussin Zamora berkata dalam pemeriksaan itu, tiada kompaun dikeluarkan polis berhubung kesalahan melanggar SOP berkaitan larangan kunjung-mengunjung atau ziarah Aidilfitri pada kali ini.
Menurutnya, pemantauan di kawasannya melibatkan 29 kawasan Felda dan 25 taman perumahan.
Di PERLIS, tiada kes kesalahan melanggar SOP berkaitan dengan larangan kunjung-mengunjung dan ziarah Aidilfitri di negeri ini.
Ketua Polis Perlis Datuk Surina Saad berkata sehingga kini hanya satu kompaun dikeluarkan bagi kesalahan rentas negeri tanpa surat kebenaran sejak PKP bermula pada Rabu lepas.
Di KEDAH, tiada kompaun dikeluarkan kepada mana-mana individu kerana melanggar larangan itu berikutan polis melakukan pemantauan serta rondaan ke kawasan perumahan bagi memastikan tiada aktiviti ziarah sempena Aidilfitri.
Ketua Polis Daerah Kulim Supt Azhar Hashim berkata 142 rumah diperiksa pada semalam dan hari ini merangkumi kawasan perumahan serta kampung di daerah itu dan secara keseluruhannya penduduk mematuhi larangan itu.
"Kami dapati semua rumah yang diperiksa mematuhi SOP serta jumlah orang yang berada di dalam rumah mengikut jumlah yang sepatutnya.
#SOP #SOP Aidilfitri #pematuhan memuaskan #Bukit Aman #larangan ziarah #kunjung-mengunjung #Exco Terengganu #dikompaun
;