Pematuhan SOP: Seniman yakin penggiat seni akan patuh ketetapan pihak berkuasa

Eton Khir
September 8, 2021 18:07 MYT
Mohd Hafiz Mohd Nafiah optimis penggiat seni akan mematuhi segala SOP yang telah ditetapkan oleh kerajaan bagi melancarkan sebarang aktiviti seni di lapangan.
KUALA LUMPUR: Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) akan bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam memastikan setiap pengggiat seni mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan setelah dibenarkan beroperasi bermula esok.
Menurut Setiausaha Agungnya, Mohd Hafiz Mohd Nafiah, beliau optimis penggiat seni akan mematuhi segala SOP yang telah ditetapkan oleh kerajaan bagi melancarkan sebarang aktiviti seni di lapangan.
"Penggiat seni akan terus berusaha mematuhi segala SOP yang ditetapkan oleh pihak kerajaan sepanjang menjalankan sesi penggambaran atau apa jua aktiviti seni.
"Pematuhan SOP ini penting bagi menggelakkan penyebaran wabak COVID-19 ini menular
kepada semua krew ataupun artis yang terlibat dalam kerja-kerja seni yang dilakukan," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu.
BACA: Kerajaan umum kelonggaran SOP Fasa 1 PPN untuk industri kreatif - Perdana Menteri
BACA: Kelonggaran SOP Industri Kreatif: Kapasiti 30 peratus penonton langsung 'tak balik modal' - Penganjur
BACA: Istana Budaya terbitkan program sendiri bermula Oktober
Dalam pada itu mengulas mengenai kebenaran beroperasi seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kata Mohd Hafiz, Seniman bersyukur kerana rintihan pengiat seni didengari oleh kerajaan.
"Seniman ingin merakamkan jutaan terima kasih kerana mendengar rintihan kami yang sekian lama terkesan dengan penutupan sektor ini, walaupun Perdana Menteri baru sahaja dilantik namun pantas membuat keputusan yang memihak kepada kami yang amat terkesan dengan pandemik COVID-19," jelas Mohd Hafiz lagi.
Pada Selasa, Ismail Sabri mengumumkan, kelonggaran yang diumumkan oleh kerajaan itu bakal memberi kelegaan kepada lebih 19,000 syarikat berkaitan industri kreatif.
Menurut Perdana Menteri, persetujuan untuk memberi kelonggaran itu adalah tertakluk kepada syarat SOP yang diluluskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Tambahnya, kelonggaran itu hanya kepada penggiat, pekerja dan pengguna yang sudah menerima dua dos lengkap vaksin COVID-19 serta kapasiti ruang premis yang dibenarkan.
#COVID-19 #ekonomi #Malaysia #Seniman
;