Pematuhan SOP sektor perdagangan pengedaran pada tahap memuaskan - KPDNHEP

Bernama
Jun 27, 2021 04:15 MYT
KPDNHEP menyarankan agar semua pemain industri di bawah sektor perdagangan pengedaran khususnya untuk memastikan SOP dipatuhi sepenuhnya. -Gambar hiasan/Bernama
KUALA LUMPUR: Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah melakukan pemeriksaan ke atas 615, 996 premis dari 13 Mei lepas sehingga semalam bagi menguatkuasakan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
Menurut kenyataan KPDNHEP pada Ahad, daripada jumlah keseluruhan premis yang diperiksa sejumlah 574 kes tidak patuh SOP atau kompaun telah dikenakan.
"Berdasarkan statistik tersebut, pematuhan sektor perdagangan pengedaran boleh dikatakan berada pada tahap yang memuaskan di mana 98.54 peratus premis patuh kepada SOP yang ditetapkan manakala 0.1 peratus premis sahaja yang dikenakan kompaun dan selebihnya iaitu 1.27 peratus premis diberi nasihat dan amaran," katanya.
Kata KPDNHEP, sejumlah 44,903 premis diperiksa oleh Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP dari 1 Jun hingga semalam menerusi penguatkuasaan pematuhan SOP PKP .
Dalam tempoh tersebut sejumlah 388 kes gagal mematuhi SOP yang berkuat kuasa di bawah Akta 342 dikesan melibatkan syarikat atau individu dengan jumlah keseluruhan nilai kompaun mencecah RM2,141,500, katanya.
"Antara jenis kesalahan yang banyak direkodkan ialah gagal mendaftar masuk menggunakan buku atau aplikasi MySejahtera dan menjalankan aktiviti yang tidak dibenarkan. Kesalahan banyak dikesan di pelbagai premis termasuk kedai runcit, pasar mini, pasar raya dan pasar raya besar," kata kenyataan itu.
Selain itu, sebanyak 132 aduan diterima daripada orang awam mulai 1 Jun hingga semalam dan kesemuanya telah disiasat.
Bagi memastikan SOP PKP 3.0 sektor perdagangan pengedaran semasa dilaksanakan dengan efektif, KPDNHEP telah menggerakkan seramai 2,262 orang pegawai penguat kuasa di seluruh negara untuk memastikan pematuhan sepenuhnya SOP di semua premis perniagaan peruncitan, pemborongan, pengedaran dan restoran.
"KPDNHEP menyarankan agar semua pemain industri di bawah sektor perdagangan pengedaran khususnya untuk memastikan SOP dipatuhi sepenuhnya oleh pekerja dan pelanggan masing-masing.
Pemilik premis perniagaan hendaklah sentiasa proaktif, peka dan memastikan pematuhan SOP sentiasa berada ditahap yang maksimum bagi memastikan keselamatan premis masing-masing dan orang ramai dapat terpelihara di samping tidak mewujudkan kluster baharu COVID-19 di bawah sektor perdagangan pengedaran," katanya.
-- BERNAMA
#KPDNHEP #SOP #COVID-19 #perintah kawalan pergerakan #PKP #MySejahtera #Premis #penyakit berjangkit #Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit
;